Isnin, 18 Januari 2016

Surat terbuka ibu runsing buat Kementerian Pendidikan

Raiha Bahaudin


 
"There are many little ways to enlarge your child's world. Love of books is the best of all.”
- Jacqueline Kennedy


 Jika tuan puan punya anak-anak sendiri, buku-buku bagaimanakah yang akan diberi kepada mereka?
Ketika saya menulis surat ini, saya baru mendapat perkhabaran luar biasa daripada seorang sahabat sukarelawan yang melawat sekolah persendirian Tunas Perwira dia Tawau.

Sekolah untuk anak-anak pekerja ini biarpun cukup sederhana, tanpa dinding dan berlantaikan tanah punya keinginan untuk memberikan terbaik untuk semua.

Oleh kerana itu, tidak menghairankan bagaimana kita boleh mendapati silibus sastera mereka untuk tingkatan 1 hingga 3, punya analisis lengkap puisi-puisi indah klasik Chairil Anwar yang membicarakan tentang pencarian diri dan ketuhanan.

Apa nasib sastera kita?

Adakah tuan puan yang bekerja di pejabat agam berhawa dingin bertingkat-tingkat boleh menjawab bagaimana sebuah naskhah dengan fantasi cinta dan adegan senggama yang jelas boleh melepasi penilaian sistem pendidikan kita?

Perlu diingatkan bahawa surat ini bukan peperangan antara karya sastera dan pop kerana kita mengetahui bahawa tidak semua karya sastera sesuai untuk anak-anak dan begitu juga sebaliknya.

Kita sendiri dapat melihat bagaimana karya-karya pop Barat yang datang daripada dunia yang dikatakan bebas dan liberal melahirkan karya-karya sai-fai bertih jagung seperti Hunger Games dan The Maze Runner yang bukan sahaja membawa isu-isu tentang penentangan terhadap sistem yang bobrok malah keazaman dan perjuangan.



Nilai-nilai yang kita mahu dibawa oleh anak-anak muda. Tetapi bagaimana dengan buku-buku pop kita?
Cinta fantasi aksi panas

Apa yang tidak disedari oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, apabila mereka menghalalkan kisah-kisah cinta fantasi malah dengan aksi-aksi panas masuk ke dalam sukatan pelajaran, mereka telah memberi tanda aras serendah-rendahnya seperti yang telah pun ditandakan oleh filem-filem dan televisyen tempatan.

Usah bermimpi tentang Wawasan 2020 ataupun sekurang-kurangnya pencapaian Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) yang mengagumkan kerana kita telah pun menaiki kereta api secara ke belakang.

Besar kemungkinan Kementerian Pelajaran Malaysia tidak pernah memandang tinggi pun aspek sumbangan sastera kepada perkembangan kemanusiaan.

Saya tidak mengenali penulis novel Pantai Kasih dan saya bersimpati kerana namanya yang menjadi viral dalam label novel cinta tidak bermoral sedangkan lebih banyak novel-novel sebegini di luar sana dan saya menjatuhkan kesalahan ini di tangan Pusat
Perkembangan Kurikulum.
Bukan kita semua tidak pernah muda dan ingin merasai sedikit kehangatan cinta di dalam buku-buku fiksyen.

Tetapi buku-buku ini boleh didapati di luar dengan label 'romance' terang jelas dan dibaca atas tanggungjawab sendiri. Bukan atas penghalalan rasmi sistem pendidikan.

Sebelum ini saya tidak terpanggil untuk menyumpah seranah novel-novel cinta pop kerana saya merasakan lebih baik memeranginya dengan menulis novel yang baik.

Memberi hasil, bukan sekadar bercakap kosong. Tetapi, keadaan kini sudah melampaui batas.

Mungkin ada yang mengatakan saya merasa terjentik kerana nama watak utama yang melakukan adegan panas di dalam novel ini serupa dengan saya. Mungkin.

Tetapi berpada-padalah menulis.

Macam kita tidak tahu, mereka yang menulis kisah-kisah sebegini, meletakkan wanita di tempat paling bawah adalah penulis-penulis wanita sendiri.

Saya mengharapkan Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil tindakan sepantas-pantasnya, sebaik-baiknya sebelum kami hilang kepercayaan sepenuhnya kepada pentadbiran anda.

Yang benar,
RAIHA BAHAUDIN
Ibu dan penulis yang rungsing

Tiada ulasan: