Isnin, 18 Januari 2016

Pengubahsuaian Bajet 2016, PM jumpa pelbagai pihak

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memastikan pengubahsuaian Bajet 2016 memberi kesan positif kepada pasaran dan rakyat dalam menangani cabaran ekonomi semasa. 
 
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata proses perundingan kini sedang dijalankan dengan pelbagai pihak termasuk ahli ekonomi dan ketua industri. 
 
Katanya, dalam masa terdekat beliau juga akan berjumpa kumpulan yang mewakili pengguna serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memastikan proses perundingan dapat dijalankan secara menyeluruh. 
 
"Fokus utama kerajaan dalam menangani cabaran ekonomi semasa adalah memastikan penyesuaian Bajet 2016 boleh diterima secara positif oleh pasaran dan juga rakyat. 
 
"Sehubungan itu, proses perundingan sedang dijalankan di mana setakat ini saya berjumpa dengan pelbagai pihak termasuk ahli ekonomi dan ketua industri," katanya menerusi kiriman di Facebook beliau, malam tadi. 
 
Najib berkata, usaha itu adalah sebahagian daripada langkah proaktif kerajaan dalam memastikan kepentingan ekonomi dan rakyat terus terjamin. 
 
Perdana Menteri bakal membentangkan pengubahsuaian Bajet 2016 pada 28 Januari ini, dengan mengambil kira senario ekonomi semasa supaya lebih realistik dengan cabaran pada tahun ini. 
 
Pengubahsuaian bajet akan merangkumi langkah tambahan penegasan baharu mengoptimumkan perbelanjaan dan peranan GLC. 
 
Pelbagai pihak setuju pengubahsuaian bajet berkenaan berikutan kejatuhan mendadak harga minyak dunia selain kelembapan ekonomi dunia.
 
 

Tiada ulasan: