Ahad, 17 Januari 2016

'Saya pernah kemuka pandangan kepada Najib, Tun M'

Abdul Hadi Awang
Hadi Awang


KUALA NERUS – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang  berkata, beliau pernah mengemukakan pandangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan juga bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu berkaitan Islam di peringkat antarabangsa.

“Saya telah beri pandangan dan nasihat kepada Datuk Seri Najib supaya meminta kerajaan Bangladesh membebaskan tokoh-tokoh negara Islam itu daripada tahanan. Saya juga ada jumpa Tun Dr  Mahathir dan kami berbincang mengenai perkara yang sama.

“Kita juga sedang berbincang dengan pucuk pimpinan negara bagaimana untuk meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah. Inilah bentuk kerjasama yang kita jalinkan..takkan tidak boleh..takkan nak bersalam pegang tangan pun tidak boleh,” katanya ketika pada Nadwah Ulama 2016: Politik Terkini dan Halatuju Pas di Kompleks Tarbiyah At-Taqwa (Komtaq), Batu Enam, di sini, hari ini.

Abdul Hadi menambah, Pas tidak bergabung dengan Umno, sebaliknya hanya bekerjasama dalam perkara untuk menegakkan syiar Islam.

Jelasnya lagi, adalah tidak salah sekiranya Pas mengambil pendirian untuk bekerjasama dengan parti lawan asalkan pihak berkenaan bersedia untuk menerima pandangan bagi kepentingan rakyat serta umat Islam di negara ini.

“Pas mempunyai hak untuk menjalin kerjasama dengan sesiapa sahaja atau mana-mana parti politik termasuk Umno kerana apa yang jelas kerjasama yang ingin dilakukan itu memberi faedah kepada seluruh umat Islam di negara ini dan jalinan bukan atas kepentingan politik.

“Pas melakukan lonjakan paradigm itu (jalin kerjasama dengan mana-mana pihak demi kepentingan umat Islam) untuk mendapatkan sokongan yang lebih ramai..takkan kita hendak tumpu pada sokongan yang sedia ada semata-mata..kita perlu tambahkan lagi (peroleh lebih banyak sokongan),” katanya.


Tiada ulasan: