Jumaat, 15 Januari 2016

Qiblatain mudahkan kerja penandaan kiblat

Qiblatain mudahkan kerja penandaan kiblat
Dr Kassim menunjukkan ciptaan inovasinya bagi memudahkan penentuan arah kiblat.
 
 
MELAKA - Jabatan Mufti Melaka berjaya melakar sejarah tersendiri apabila mencipta alat inovasi bagi memudahkan kerja-kerja penandaan arah kiblat yang dinamakan Qiblatain.

Alat direka oleh Ketua Bahagian Falak, Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Dr Kassim Bahali itu berjaya mengungguli anugerah inovasi di Ekspo Inovasi Islam kali ke-6 2015 (I-Inova 2015) pada November lalu di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Negeri Sembilan.

Dr Kassim berkata, alat bercirikan dua dalam satu itu mempunyai dua fungsi sebagai penanda laser dan sebagai tongkat Istiwa.

Menurutnya, alat penanda laser satu inovasi untuk memudahkan kerja penandaan kiblat di bilik-bilik seperti di hotel, pejabat, ruang solat dan rumah kediaman dengan ringkas, pantas dan mudah.

Manakala tongkat Istiwa pula digunakan untuk menentukan azimut kiblat di ruang solat, tapak surau atau masjid yang baharu.

“Sebelum ini, kalau di kawasan luar, kita biasa gunakan satu alat dinamakan Teodolit. Namun, ciptaan terbaru ini lebih mudah dan lebih menjimatkan apabila tidak perlu menggunakan banyak tenaga manusia kerana ia boleh dilakukan oleh seorang individu.

“Jabatan Mufti Negeri Melaka sudah memanfaatkan alat ini sejak tahun lalu lagi bagi menentukan arah kiblat di beberapa lokasi di negeri ini,” katanya sudah menerajui Bahagian Falak sejak lebih 15 tahun lalu.

Beliau berkata, idea untuk mencipta alat berkenaan diperoleh selepas menghadapi kekangan masa dan tenaga manusia setiap kali melakukan tugas menentukan arah kiblat.

“Ini kerana tugas berkenaan adalah salah satu fungsi Jabatan Mufti. Jadi, saya memikirkan satu alat yang dapat membantu kita untuk melakukan tugas berkenaan lebih mudah tanpa memerlukan tenaga pakar yang ramai.

“Bilik-bilik hotel di Melaka terlalu banyak, dengan alat ini ia akan lebih mudah dan cepat malah lebih menjimatkan masa berbanding cara biasa sebelum ini,” katanya.

Katanya, alat berkenaan mula mendapat perhatian beberapa negeri yang berminat untuk menggunakan sebagai membantu kerja-kerja penentuan arah kiblat.

“Kita sudah dapat tempahan daripada beberapa negeri yang menyatakan hasrat untuk memanfaatkannya,” katanya.


Tiada ulasan: