SHAH ALAM: Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr Zuhdi Marzuki
secara peribadi, menjangkakan hubungan PKR bersama PAS di Selangor akan
berakhir lebih awal iaitu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Ramalnya, sebaik sahaja DUN Selangor dibubarkan, PKR akan meninggalkan
PAS ekoran tiada lagi faktor yang akan mengikat kedua-dua parti itu.
PKR sebelum ini berkeras mempertahankan kerjasamanya dengan PAS
meskipun mendapat tekanan daripada DAP, disebabkan mahu mengekalkan
kuasa mentadbir Selangor.
"Disebabkan faktor yang mengikat PAS-PKR hanyalah kerajaan Selangor, ini saya punya ramalan tak mewakili pandangan PAS.
"Bila kerajaan Selangor dibubar apabila PRU, maka faktor yang mengikat
itu tak ada lagi. Saya nampak ketika itu PAS akan ditinggalkan PKR, kita
sudah bersedia dari segi minda, persiapan untuk kita tak bersama PKR,"
katanya ketika diwawancara Antarapos.
Mengulas lanjut, Zuhdi berkata pandangan peribadinya yang tidak
mewakili PAS ini timbul selepas melihat senario yang berlaku dalam
menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang akan diadakan tidak
lama lagi.
Ujar beliau lagi, pembahagian kerusi PKR di Sarawak juga dilakukan
tanpa berbincang dengan PAS sekaligus menandakan hubungan dua parti ini
akan berakhir pada PRU14.
"Sebagaimana juga dalam PRN Sarawak yang akan berlaku pada Mac atau
April, saya nampak PKR sudah mula tinggalkan PAS. Keputusan-keputusan
yang mereka buat di Sarawak, kerusi yang mereka tanding tak bincang
dengan PAS setakat ini walaupun di Sarawak itu masih ada tegur-menegur
antara PKR-PAS.
"Baru-baru ini Pakatan Harapan ada buat pertemuan (tapi) PAS tak
dianggap penting ataupun untuk ambil bahagian dalam PRN Sarawak, ini
satu petunjuk yang menandakan bahawa senario untuk meninggalkan PAS tu
adalah suatu perkara yang besar dalam PRU akan datang," katanya lagi.
Pakatan Harapan pada Sabtu lalu mengadakan konvensyen bagi
menandatangani perjanjian persefahaman, untuk mengukuhkan pakatan baru
mereka tanpa PAS.
Konvensyen itu mempersetujui beberapa perkara termasuk PKR, DAP atau
Parti Amanah Negara (PAN) perlu mendapatkan persetujuan parti komponen
terlebih dahulu sebelum membuat sesuatu keputusan.
Klausa itu dilihat bakal memberi cabaran dalam kerjasama antara PAS dan PKR selepas ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan