Jumaat, 15 Januari 2016

Noh 'sakit', cemburu kekuatan Pakatan Harapan - Abdullah Sani

 Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic

 
SHAH ALAM: Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid menyifatkan Datuk Seri Noh Omar sebagai 'sakit' apabila mempersoalkan tentang kerajaan Selangor yang didakwanya ditadbir oleh kerajaan yang 'cacamarba'.
 
Tegasnya Noh tidak layak untuk berkata demikian yang dilihat iri hati dengan kekuatan yang ada pada Pakatan Harapan.
 
"Beliau seorang yang sakit otak. Malah tidak ada hak untuk beliau mencampuri urusan Pakatan Harapan, begitu juga urusan pentadbiran kerajaan negeri.
 
"Mungkin Noh sendiri cemburu melihat kekuatan kita di dalam Pakatan Harapan," katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
 
Selain mendakwa Selangor ditadbir oleh sebuah kerajaan yang cacamarba, Noh yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Selangor hairan bagaimana PAS dan parti serpihannya, Parti Amanah Negara (PAN) boleh berada di dalam kerajaan negeri walhal PAS tidak menyertai Pakatan Harapan.
 
“Nak panggil apa kerajaan Selangor ini. Nak kata kerajaan Pakatan Harapan, PAS tiada. Nak panggil Pakatan Rakyat, tak boleh sebab telah dibubarkan.
 
“Nak kata kerajaan yang mempunyai halatuju yang sama, dalam itu ada musuh. Jadi nak panggil apa," demikian memetik kenyataan Noh menerusi SelangorPost, baru-baru ini.
 
Bukan itu sahaja, Ahli Parlimen Tanjong Karang itu juga berpendapat rakyat Selangor kini menderita selepas pertikaian antara parti-parti politik pembangkang yang tiada berkesudahan, apatah lagi dasar-dasar PAS-PKR-DAP-PAN berbeza di antara satu sama lain.
 
Mengulas hal tersebut, Abdullah Sani menggesa Noh supaya menjaga hal ehwal partinya sendiri terlebih dahulu sebelum mencampuri urusan parti lain.
 
"Jangan lupa Umno pun ada masalah. Barisan Nasional juga bermasalah. Jadi tak usah campurlah hal orang lain," ujarnya.
 
Meskipun PAS tidak bersama di dalam Pakatan Harapan, kerajaan negeri kini secara tidak langsungnya ditadbir oleh empat parti.
 
Ia berikutan keputusan kerajaan negeri memberi kerusi ahli-ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kepada PAN baru-baru ini walaupun dibantah keras oleh PAS sebelum ini.
 
 

Tiada ulasan: