Ahad, 17 Januari 2016

Biar persatuan artis cadangkan nama untuk gelaran Datuk

 Oleh Zeanaaima Md Yusof

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Kerajaan disaran berurusan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengendalikan hal-hal kebajikan artis, untuk mengenalpasti siapakah daripada mereka layak diberikan darjah kebesaran membawa gelaran Datuk. 
 
Presiden SENIMAN, Zed Zaidi berkata dengan cara itu, mana-mana artis yang mendapat gelaran tersebut tidak akan dipertikai integritinya malah akan diterima dan disanjung artis-artis yang lain.
 
Buat masa ini, segala urusan pemberian dan penerimaan gelaran sebegini hanya melibatkan seseorang artis dengan institusi yang terlibat sahaja.
 
"Saya seru pada kerajaan (kalau boleh) bagilah gelaran Datuk melalui persatuan atau NGO. Biar mereka yang beri nama (artis) siapakah yang layak dalam industri masing-masing. 
 
"Jadi dengan cara itu, golongan artis (yang mendapat Datuk) akan lebih diiktiraf," katanya ketika ditemubual secara eksklusif dengan Antarapos.
 
Zed berkata, beliau bersetuju apabila ada dikalangan artis mendapat gelaran Datuk kerana mereka juga berkerja keras untuk memberikan sumbangan kepada bangsa dan negara, melalui cara tersendiri.
 
"Selain berlakon menyanyi, dia bergiat aktif dalam persatuan dan bila dia dapat Datuk, kita tak boleh pertikai sebab itu sumbangan dia pada golongan artis, masyarakat..dan itulah sumbangan dia pada negara," katanya.
 
Ketika ditanya perihal kontroversi bahawa terdapat sesetengah artis mendapatkan gelaran Datuk, menggunakan saluran yang meragukan, Zed berkata bukan sahaja dirinya bahkan masyarakat juga mempersoalkan perkara tersebut.
 
"Artis yang mendapat Datuk itu dia ada menyumbang kepada jasa dalam NGO, sumbangan pada masyarakat atau negara. Tapi bagi yang dapat (Datuk) tapi kita tahu dia tidak menyumbang apa-apa, kita musykillah, kenapa dia dapat Datuk. 
 
"Bukan saya saja yang persoal tapi rakyat juga persoal. Ini realiti yang berlaku di negara kita sekaranglah," katanya.
 
Zed menambah, sesetengah artis yang sudah mencapai fasa-fasa tertentu amat memerlukan gelaran Datuk untuk lebih dihormati.
 
Malah ada juga yang menggunakan gelaran tersebut untuk kepentingan perniagaan yang diusahakannya, selain bergiat aktif dalam seni hiburan tanah air.
 
"Bila sudah jadi artis dikenali dan bila dah capai peringkat tertentu, artis ini mahu lebih dihormati, sebab sudah naik taraf.
 
"Artis juga bila sampai tahap 'sejuk' atau tak popular, mereka akan buat perniagaan. Ketika inilah gelaran Datuk itu penting untuk strategi pemasaran perniagaan mereka," katanya lagi.
 
 

Tiada ulasan: