Isnin, 16 November 2015

Pendengaran semakan semula kes Liwat II bermula hari ini

Hafiz Yatim


 


Usaha bekas ketua pembangkang yang sedang dipenjarakan, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyemak semula sabitan dan hukuman kes Liwat II akan didengar di Mahkamah Persekutuan hari ini.

Semakan semula itu pertamanya akan melibatkan mendengar permohonan Anwar untuk memanggil bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan, Datuk Ramli Yusof, yang sebelum ini merupakan timbalan pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman pada tahun 1998 semasa kes Liwat I dan 'insiden mata lebam' Anwar.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Gopal Sri Ram mewakili Anwar.

LAPORAN LANGSUNG

10.50am: Hakim Zulkefli berkata keputusan akan disampaikan pada tarikh lain. Sesi hari ini selesai.

10.40am: Gopal berkata Seksyen 93(1) Akta Mahkamah Kehakiman, secara analogi, menetapkan bahwa bukti-bukti diperlukan demi keadilan.

Gopal membawa keterangan Ramli bahwa Musa memintasnya dengan berunding dengan Gani, bersama DPP Azahar Mohamad dan Nordin Hassan walaupun Ramli ketika itu timbalan pengarah CID Bukit Aman.

Ini, kata peguam kanan itu, melibatkan juga kes Liwat I.

Beliau juga berkata Gani terlibat dengan kes Liwat II ketika dia mengarahkan pemindahan kes itu di Mahkamah Tinggi dan melantik Shafee sebagai pendakwa.

10.30am: Hanafiah berkata oleh itu tidak ada keperluan untuk afidavit balas dari Gani.

Katanya, apa yang Ramli kata adalah berdasarkan kepada bukti dengar cakap (hearsay), kerana apa yang dia dakwa bahawa Mohtar, Gani telah memintanya untuk lakukan (membuat satu laporan), hanyalah dimaklumkan oleh Musa.

"Bukti ini adalah berdasarkan kepada dengar cakap (hearsay) dan tidak ada keperluan untuk memanggil Gani bagi membuat satu afidavit," kata Hanafiah

Berikutan ini, Hakim Malanjum berkata Musa yang seharusnya membuat afidavit itu.

Hanafiah berkata Anwar tidak mematuhi had (threshold) yang ditetapkan untuk memanggil Ramli.

10.15am: DPP Hanafiah yang mengambil gilirannya berkata tidak ada keterangan baru yang dikemukakan berkaitan dengan kes Liwat II.

"Pemohon telah gagal untuk memenuhi keperluan kerana bukti perlu dikemukakan dalam perbicaraan itu," katanya.

Beliau berkata keterangan yang sama telah dikemukakan dari Mat Zain semasa pendengaran sebelum ini.

"Ini sudah ada dan di Mahkamah Rayuan, ia telah dibuat melalui afidavit oleh Mat Zain untuk membatalkan pendakwa Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pihak pendakwaan," katanya.

Maklumat ini sudah ada ketika itu, dan isu diberi pertimbangan sifar tidak timbul kerana ia tidak dibangkitkan pada masa itu, hujah beliau.

Hanafiah berkata 'insiden mata lebam' berlaku pada tahun 1998 dan untuk mengatakan bahawa insiden pada 2008 itu membabitkan konspirasi politik adalah terlalu jauh untuk dikaitkan.

"Musa tidak terlibat dalam siasatan pada 2008. Saya mempunyai pengetahuan peribadi kerana saya terlibat sejak dari awal pendakwaan," kata Hanafiah.

9.55am: Gopal berkata tidak ada afidavit balas dari Gani untuk menolak keterangan yang dibuat oleh Ramli.

"Apabila dakwaan dibuat, ia mesti dijawab. Ini bukan perkara remeh," katanya.

Hakim Malanjum bertanya sama ada ini telah dibangkitkan sebelum ini, dan Gopal berkata tidak ada bukti itu pada masa itu, tetapi bukti ini kini menunjukkan terdapat dakwaan kemungkinan tentang konspirasi politik, kerana kes mereka ialah bahawa Saiful telah bertindak sebagai 'Trojan Horse' seperti yang ditunjukkan apabila dia dibawa bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Di samping itu terdapat juga penglibatan SAC II Mohd Rodwan Mohd Yusof, yang juga terlibat dalam perbicaraan kes Liwat I.

"Ancaman politik (terbesar) terhadap PM sekarang ialah Anwar," katanya.

9.45am: Gopal menyebutkan tentang kejadian dengan saksi Ramli, yang berkata dia adalah orang yang telah menarik IGP ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor.

Ramli, kata Gopal, telah diminta oleh Musa, AG ketika itu Tan Sri Mohtar Abdullah dan Gani untuk membuat laporan polis bahawa Anwar telah memukul dirinya sendiri, yang mana Ramli tidak buat.

Gopal berkata, terdapat kecenderungan untuk memangsakan anak guamnya kerana Musa naik menjadi IGP dalam kes Liwat II.

Hakim Zulkefli berkata, ada akuan berkanun oleh bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim mengenai isu ini, tetapi Gopal berkata mahkamah tertinggi itu telah menolak SD Mat Zain.

Pokoknya, kata beliau, adalah ini adalah satu lagi bukti positif.

Ini, katanya, menyokong (dakwaan konspirasi politik) rancangan yang telah diatur lebih awal.

9.40M: Gopal berkata mereka mahu mengemukakan bahawa kes itu adalah konspirasi politik, di mana sebelum ini, bagi tuduhan yang sama, Anwar telah diserang dalam lokap, di mana terdapat dakwaan memalsukan bukti.

9.35am: Mahkamah bermula dengan hakim Zulkefli mempengerusikannya.

Tiada ulasan: