ULASAN Jaringan Kampung Orang Asli Negeri Perak berasa tidak berpuas hati dengan kenyataan Menteri Besar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir bahawa tanah kami telah dirizab sebagai penempatan.
Kenyataan beliau disiarkan akhbar Edisi Rakyat pada 5hb November 2015, melibatkan pewartaan tanah seluas 12,883 hektar.
Keluasaan 12,883 hektar ini adalah sangat kecil. Bagi kami, tanah adat kami sangat besar. Tanah tersebut tidak diwartakan sebagai kawasan rizab wilayah tanah adat Orang Asli mengikut kehendak kami.
Di kawasan ini pencerobohan haram sering berlaku. Pembalakan berleluasa di sekitar negeri Perak terutamanya di RPS Banun, RPS Pos Kemar Gerik, di Kampung Tisong Sungkai Perak, Sungai Siput Perak dan di Pos Bersih Slim River.
Kerajaan mahu membina empangan hidroelektrik di beberapa tempat, contohnya di RPS Pos Jernang. Lrojek tersebut mahu dilaksanakan juga walau menerima bantahan Orang Asli.
Daripada keseluruhan 164 perkampungan Orang Asli di negeri Perak, masih ada lagi yang belum dirizab sebagai kawasan atau penempatan Orang Asli mahupun tanah wilayah adat penduduk kampung.
Contohnya permohonan untuk membuat pewartaan melibatkan Kampung Chang Sungai Bidor telah dibuat oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli ( JAKOA) kepada Pejabat Pentadbiran Daerah dan Tanah Batang Padang pada tahun 2011.
Namun sehingga kini kawasan penempatan, pertanian komersil dan pertanian kontan tidak dirizabkan.
Menurut Pentadbiran Daerah dan Tanah Batang Padang Tapah, tanah di kawasan kampung Chang adalah milik kerajaan negeri.
Selain itu, projek tanaman semula komersil ( TSK) tidak dilaksanakan dengan teratur, cara pembahagian dividen tidak menguntungkan kepada Orang Asli yang menjadi peserta TSK. Contohnya di RPS Pos Jernang, Sungkai dan RPS Dala Gerik Perak.
Dana berjumlah berjuta ringgit diperuntukkan bagi pembangunan Orang Asli namun prasarana kemudahan asas sering bermasalah.
Contohnya jalan tar tidak dibina dengan betul contohnya di RPS Pos Kemar ia sangat nipis dan sudahpun rosak. Di RPS Pos Jernang, jalan tar hanya separuh dan ianya sangat nipis.
Ada kampung yang langsung tidak mendapat kemudahan jalan raya dan bekalan elektrik. Sistem bekalan elektrik solar pula tidak mendapat manfaat kepada penduduk yang menggunakan bekalan tersebut.
Contohnya di Pos Tenau, Slim River, Kampung Temin dan Kampung Chuweh Gerik Perak.
Sistem perparitan juga tidak mengikuti piawaian jalan raya yang betul. Selain itu, rumah PPRT (Projek Perumahan Rakyat Termiskin) tidak memuaskan hati penduduk setempat, contohnya di kampung Orang Asli Sungai Temin Gerik kerana rumah PPRT tersebut tidak disiapkan dengan sepenuhnya.
Di kampung Pos Piah, Sungai Siput, tiada bekalan elektrik sedangkan mereka mendiami kawasan empangan hidroeletrik di situ sejak sekian lama.
Kerajaan perlu mengutamakan kemudahan asas untuk kesihatan Orang Asli di negeri Perak seperti kenderaan untuk pesakit yang datang dari pedalaman, dan tidak mengenakan bayaran perkhidmatan.
Hospital kerajaan tidak harus menswastakan kenderaan yang diguna untuk menghantar pesakit pulang ke rumah.
Peruntukan untuk pendidikan haruslah disalurkan dengan telus kepada masyarakat Orang Asli. Kerajaan perlu membina sekolah tadika dan sekolah rendah di kampung yang jauh dari pinggir bandar dan pedalaman. Jawatan untuk penyelia sekolah haruslah mengutamakan orang Asli sendiri.
Tanah kami perlu diwarta mengikut kehendak kami dan bukan kehendak kerajaan negeri. Kami hanya mahu pengiktirafan wilayah tanah adat Orang Asli secara komunal dan bukannya geran individu.
Segala keputusan haruslah mengikut piawaian berasaskan Izin Makluman Awal Bebas dan Telus( IMABT) dan hak-hak kami perlulah dipatuhi mengikut United Nation Declaration Of Indigenous Peoples (UNDRIP).
Tuntutan ini tidak dibuat atas hasutan mana-mana pihak. Apa yang kami utarakan ini benar-benar berlaku ke atas kami.
Kami tidak antipembangunan, tidak antipolitik namun hakikatnya kami tidak boleh berdiam diri jika pihak luar sewenang-wenangnya menceroboh dan menyekat kami untuk bersuara.
Kami ada hak untuk melakukan apa sahaja di atas tanah wilayah adat kami, termasuk untuk menentukan ekonomi, kebudayaan serta menentukan kepimpinan kami seperti tok batin.
ABRI YOK CHOPIL urusetia Jaringan Kampung Orang Asli Negeri Perak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan