KUALA LUMPUR- Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi perjalanan Kuala Lumpur ke Padang Besar mendapat reaksi positif daripada warga utara tanah air.


Bagaimanapun, wujud kekeliruan di kalangan orang ramai apabila tiket ETS yang dijual pada 10 Julai lalu hanya berakhir di Ipoh.

Malah bagi penumpang yang memberi tiket ke Padang Besar, mereka terpaksa menaiki kereta api biasa untuk meneruskan perjalanan ke Padang Besar.

Menjelaskan kekeliruan yang berlaku, Presidennya, Sarbini Tijan berkata kenyataan yang dibuat Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai sebelum ini berkenaan ETS ke Padang Besar telah disalah anggap oleh media dan orang ramai.

Ini kerana katanya, kenyataan itu adalah mengenai perancangan ETS ke Padang Besar yang akan bermula September ini melalui laluan Parit Buntar, Sungai Petani dan terus ke Padang Besar.

“Apabila kekeliruan ini timbul jadi saya terpaksa bincang dengan menteri dan kami putuskan untuk buka perkhidmatan ETS ke Padang Besar tetapi melalui laluan Butterworth.

“Ia agak berbeza dengan perancangan asal namum saya terpaksa memperbetulkan keadaan jadi kami masukkan tren ke Butterworth.
Orang ramai sudah mula pulang ke kampung halaman menaiki Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). - Foto TRP/Syahirah Roslan
Orang ramai sudah mula pulang ke kampung halaman menaiki Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). – Foto TRP/Syahirah Roslan
“Jadi kami awalkan pada 11 Julai mulai jam 9.30 pagi itu pun perkhidmatan melalui Butterworth,” katanya kepada The Rakyat Post.

Bagaimanapun, bagi perjalanan terus ke Padang Besar menggunakan ETS, tiket hanya mula dibuka semalam dan ia mendapat sambutan yang baik daripada warga Utara.

“Itu hanya salah faham, tiket yang dijual sekarang bagi perkhidmatan ETS sekarang terus ke Padang Besar,” katanya.

Meskipun wujud salah faham sebegitu, ramai penumpang kereta api yang cuba mendapatkan tiket pada hari ini pulang dengan tangan kosong apabila tiket terus ke Padang Besar pada 15,16 dan 17 Julai telah habis dijual.

Melihat kepada situasi berkenaan, seorang pelajar Norasyikin Majid berkata kekeliruan itu menyebabkan dia tidak berpeluang menggunakan ETS untuk pulang ke kampung pada tahun ini.

Namun dia mengakui ETS adalah perkhimatan utama bagi warga utara sejak ia diperkenalkan memandangkan tempoh masa perjalanan yang singkat.

“Kami sudah datang pada hari yang mereka jadualkan akan buka (jualan tiket) iaitu pada 10 Julai namun apabila ditanya mereka kata tiket ETS terus ke Padang Besar akan mula dijual esok.

“Yang dijual pada hari itu adalah dari KL Sentral ke Ipoh dan dari Ipoh kami terpaksa naik kereta api biasa.

“Kami tiada pilihan dan terpaksa cari jalan lain dan pengangkutan awam yang lain untuk pulang. Tiket bas pun sudah habis,” katanya dengan nada kecewa.