KUALA LUMPUR-Peguam yang menerajui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendakwa beliau mengetahui pihak yang bertanggungjawab membocorkan maklumat terperinci mengenai akaun bank Ambank milik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Md Zainal Abidin menunding jari ke arah hartawan perbankan terkemuka yang didakwa rakan seperjuangan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Tadbir Urus Bertanggungjawab Malaysia (CAGM) itu berkata, hartawan itu terhutang budi kepada Dr Mahathir yang membantu dalam kejayaannya.

“Namun, kedua-dua mereka yang tergesa-gesa menendang Najib keluar dari jawatan pucuk pimpinan beliau, telah mendedahkan `maklumat sulit’ yang memainkan peranan penting dalam membantu Umno dan BN terus berkuasa.

“Ambank mengeluarkan pinjaman lebih RM250 juta kepada syarikat berkaitan Mirzan dan Mokhzani Mahathir,” dakwa Md Zainal merujuk kepada anak Dr Mahathir dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, ketika dihubungi The Rakyat Post, beliau mengesahkan mempunyai dokumen bagi menyokong dakwaan yang dibuat tetapi buat masa ini, dia tidak boleh berkongsinya dengan media dan orang ramai.

Sementara itu, kata Md Zainal, jutaan ringgit yang dikesan dimasukkan ke dalam akaun Ambank milik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak digunakan bagi `menyokong’ parti komponen Barisan Nasional (BN) pada Pilihanraya Umum lalu,

Beliau berkata, dana itu disalurkan antaranya kepada Umno, MCA, MIC dan Gerakan selain pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“CAGM boleh mengesahkan, berdasarkan dokumen mahkamah pada kami, jutaan ringgit dari akaun Ambank Najib sebenarnya digunakan sebagai `menyokong’ parti komponen BN dalam melancarkan Pilihanraya Umum 2013.

“Secara purata RM30 juta hingga RM50 juta diperuntukkan bagi setiap parti komponen manakala yang lain menerima antara RM1 juta ke RM8 juta,” katanya.

Md Zainal bagaimanapun meletakkan salah ke atas bahu mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sambil berkata ketika pemerintahan Mahathir, telah meletakkan sistem ‘menggris’ bagi memastikan kejayaan BN kekal sebagai parti pemerintah negara.

Beliau berkata, Najib sekadar meneruskan budaya yang ditetapkan Mahathir, semata-mata `membayar system yang digerakkan Mahathir bagi memastikan keputusan berpihak kepada BN’.

“Semakin sukar kemenangan dalam pilihanraya dicapai, lebih banyak wang diperlukan bagi memastikan kemenangan dan Pilihanraya Umum 2013 sangat berisiko tinggi buat BN.”

Md Zainal merujuk kepada wang yang menurut laporan Wall Street Journal (WSJ) pada 2 Julai lalu mendakwa sebahagiannya sumbangan syarikat pelaburan strategik kerajaan,1Malaysia Development Berhad (1MDB).

WSJ mendakwa sebahagian RM2.67 bilion dimasukkan ke dalam akaun Ambank yang didakwa milik Najib digunakan sebagai dana kempen pilihan pilihanraya 2013.

Pada malam sama laporan itu dikeluarkan, Najib mengeluarkan kenyataan yang menegaskan beliau tidak mengambil wang rakyat bagi tujuan peribadi.

Susulan daripada laporan berita antarabangsa itu, Pasukan Petugas Khas ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan yang dibuat dengan disertai Peguam Negara, Polis DiRaja Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.