Isnin, 1 Disember 2014

Tiada tempat bagi Akta Hasutan di bumi moden Malaysia

 Oleh Soon Li Tsin


Akta Hasutan di Malaysia sekali lagi memaparkan sisi gelapnya berikutan pendakwaan terhadap kartunis Zulkifli Anwar Ulhaque, atau lebih dikenali sebagai Zunar. Undang-undang ini dianggap tinggalan kolonial, zalim dan lapok, namun kekal digunakan di negara kita. Malaysia menjadi terkenal di mata dunia kerana tindakan siasatan dan pendakwaan menggunakan undang-undang yang diperkenalkan pada 1948 ini.

Antara yang telah didakwa termasuk ahli parlimen Seputeh Teresa Kok, ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad, pensyarah Azmi Sharom dan aktivis Ali Abdul Jalil. Malah ramai lagi seperti Zunar yang disoal siasat pihak berkuasa. Kesalahan bagi akta ini termasuk menggelar Umno ‘celaka’, mempersoal kuasa Jabatan Agama Islam Selangor, kritikan terhadap Raja-Raja dan mempertikai Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, negara-negara lain terutama yang pernah dijajah British juga masih mengekalkannya termasuk Kanada, India, Singapura dan Hong Kong. Malah Amerika Syarikat turut memiliki beberapa Akta Hasutan. Ya betul ― beberapa dan bukan hanya satu.
Pertama, terdapat Akta Hasutan 1798 yang melarang kritikan terhadap kerajaan Amerika Syarikat dan hukuman terhadap pesalah termasuk denda dan penjara. Presiden John Adams dan pihak Persekutuan bimbang akan penentangan dan meluluskan undang-undang ini bagi mengekang pihak pembangkang. Ia dimansuhkan Thomas Jefferson kerana mengekang kebebasan bersuara.

Pada 16 Mei 1918, Kongres AS meluluskan satu lagi Akta Hasutan bagi menyokong Akta Perisikan yang diluluskan sebelumnya. Kedua-duanya bagi mempertahankan penyertaan AS dalam Perang Dunia I. Akta Hasutan hadir dengan hukuman keras - sehingga USD10,000 dan/atau 20 tahun penjara bagi sesiapa yang bersalah membuat tuduhan melulu tentang perang tersebut; menghina dan menghentam kerajaan AS, bendera, Perlembagaan dan pihak tentera, menaikkan kemarahan tentang bahan sebaran peperangan, mendidik atau mempertahankan kesemua tindakan yang terlarang itu. Kongres memansuhkannya pada 1921 kerana ia bercanggah dengan amalan demokrasi di Amerika Syarikat.

Usaha terakhir memaparkan kesalahan hasutan berlaku selari dengan Akta Pendaftaran Pendatang Asing 1940. Dikenali sebagai Akta Smith, ia mensasarkan penyokong parti Nazi, penyokong Leon Trotsky, pihak komunis dan sosialis yang semakin ramai di Amerika Syarikat selepas Perang Dunia II.

Akta tersebut begitu meluas sehingga mensasarkan sesiapa “…  yang berniat menjatuhkan atau menghancurkan kerajaan, dengan mencetak, menerbit, menyunting, menjual, atau memaparkan tulisan atau bahan cetak bagi menyokong, menasihati, mendidik tentang menjatuhkan, atau menghancurkan kerajaan melalui tindakan ganas atau cuba melakukannya atau… menganjurkan atau membantu serta menggalakkan usaha menjatuhkan atau menghancurkan kerajaan AS melalui keganasan dan paksaan, menjadi ahli atau sekutu mana-mana pertubuhan, persatuan, perhimpunan dengan tujuan sedemikian.”

Ramai yang didakwa dengannya di antara tahun 1940 ke 1956 yang menyaksikan peningkatan kegiatan perisikan di antara pihak yang terlibat dalam Perang Dunia II dan juga Perang Dingin selepasnya.

Makhamah Tinggi pada 1957 bagaimanapun memutuskan Pindaan Pertama agar kebebasan bersuara dilindungi melainkan terdapat marabahaya yang nyata ke arah menjatuhkan kerajaan, perlu ditegakkan. Keputusan ini menjadikan bebanan pembuktikan di pihak pendakwaan agar menunjukkan terdapat niat menjatuhkan kerajaan melalui keganasan dan paksaan.

Seramai 14 pemimpin komunis dalam kes Yates menentang AS telah menyaksikan keputusan bersalah ke atas mereka ditarik balik dan mereka didakwa di mahkamah daerah. Pada pertengahan 1962, komunis yang terakhir didakwa dan dihukum telah menjalani hukuman penjara manakala sesetengahnya diberi pengampunan oleh Presiden JF Kennedy. Akta Smith masih lagi wujud sehingga hari ini tetapi ia dianggap lapuk kerana tinggalan Perang Dingin.

Jadi bagaimana dengan Malaysia? Masih perlukah negara kita yang mensasarkan status negara maju menjelang 2020 mengekalkannya? Ia perlu mengambil iktibar dari United Kingdom yang memansuhkan hasutan pada 2010. Menteri Undang-Undang Claire Ward berkata ia “lapok” dan tidak selari dengan amalan kebebasan bersuara. Apa jadi di sana? Sistem monarki dan kerajaannya masih utuh dan tiada sebarang masalah tercetus.

Malaysia memiliki undang-undang dan proses sedia ada bagi tindakan undang-undang diambil ke atas mana-mana kumpulan atau individu yang dirasakan bersalah. Jadi adakah kerajaannya berani mengelakkan penggunaan akta ini yang jelas mengekang kebebasan bersuara? Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pernah berjanji akta tahun 1948 itu bakal diganti dengan Akta Keharmonian Nasional. Tetapi kini, nampaknya seperti ia sukar dilakukan.

Tanpa kebebasan bersuara dengan aman, satu-satunya cara rakyat Malaysia meluahkan kemarahan ialah melalui peti undi. Sekiranya kerajaan persekutuan ini kehilangan lebih banyak kerusi Parlimen dan kerusi DUN, mungkin ia akan sedar apa yang dihajati rakyat Malaysia. Suara mereka di dalam isu penting wajar didengar samada ia berkenaan agama, bangsa, Raja-Raja dan urus tadbir negara.

(*)  Li Tsin tinggal di AS dan mencoret pendapat di @polytikus

Tiada ulasan: