Konsert trance ini sudah menjadi budaya sehingga mengakibatkan kematian akibat dadah.
BATU FERRINGHI - Ketika penduduk di bahagian Pantai Timur Semenanjung
bertarung dengan bencana alam, khabar angin mendakwa sambutan tahun
baharu di sepanjang pantai di sini, akan dipenuhi dengan sambutan tidak
bermoral.
Tinjauan Sinar Harian mendapati terdapat beberapa hotel dan penganjur yang mula mempromosikan konsert tahun baharu.
Bagaimanapun, ia menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan orang
ramai berikutan negara masih dilanda musibah namun, ada yang langsung
tidak prihatin dengan keadaan berkenaan.
Beberapa penduduk di sini memberitahu risalah mengenai penganjuran
sebuah konsert yang agak meragukan juga sedang giat dijalankan.
Seorang peniaga di sini yang enggan namanya didedahkan berkata, antara
sambutan tahun baharu berkenaan dinamakan sebagai Trance Movement.
“Melalui risalah yang saya dapat, ia akan dibuat secara terbuka di
pantai, sama seperti konsert syarikat arak beberapa tahun lalu dan
kerana ini kami tidak sedap hati.
“Sekarang ialah waktu bencana negara, kenapa perlu diraikan program
sebegini di tempat kami. Pelbagai khabar angin mengenai konsert itu
seperti penyalahgunaan dadah dan arak sudah sampai ke pengetahuan orang
kampung,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut sumber, konsert Trance Festival sebelum ini dianjurkan di
Indonesia dan trance membawa maksud keadaan kemasukan roh serta berada
dalam keadaan yang tidak sedarkan diri.
Tragiknya, konsert berkenaan akhirnya menyebabkan tiga orang mati di Jakarta pada Mac lalu.
Bukan saja di negara luar, konsert itu kemudiannya dipercayai dibawa
ke Stadium Bukit Jalil dengan nama yang berlainan pada awal tahun ini.
Namun akibat penggunaan dadah dalam kalangan pengunjung konsert, enam pengunjung maut ketika konsert berlangsung.
Kini penganjuran Trance Movement cuba pula dibawa ke negeri ini dan
masih menjadi tanda tanya sama ada ia mendapat kelulusan daripada pihak
bertanggungjawab ataupun tidak.
Konsert ini pada asalnya dibawa dari Eropah yang mana dipenuhi dengan
tarian elektronik dan kemudiannya mengikut peredaran zaman sehingga
dicemari dengan penggunaan dadah.
Konsert tidak bermoral
Bagi Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Bukit Bendera, Saiful Lizan
Yusof, beliau menganggap konsert yang bakal diadakan ini sebagai sesuatu
yang tidak tahu malu.
Menurutnya, ketika penduduk di negeri lain bertarung nyawa dengan
malapetaka yang melanda, ada penganjur yang mengadakan konsert sambutan
tahun baharu.
“Setakat riadah mungkin tiada masalah tetapi jika ia berunsurkan
perkara yang melalaikan sudah tentu ia adalah satu benda yang amat
memalukan.
“Sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk mana-mana penganjur mengadakan konsert sedemikian rupa,” katanya.
JKKK minta henti
JKKK minta henti
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Batu
Ferringhi, Jamaludin Hashim meminta supaya mana-mana agensi tidak
membenarkan penganjuran konsert berkenaan terus diadakan di sini.
Menurutnya, ia tidak sepatutnya diadakan memandangkan masih ramai yang bersedih.
“Kalau boleh henti, mari kita hentikan sama-sama dan terus membantah ia dari terus dibuat di tempat kita.
“Walaupun tempat ini adalah lokasi pelancongan tetapi tidak perlu hiburan sebegini diadakan,” katanya.
MPPP masih belum lulus
Sementara itu, Bahagian Perlesenan Majlis Perbandaran Pulau Pinang
(MPPP) mengesahkan masih belum meluluskan konsert berkenaan.
Jurucakapnya berkata, wakil penganjur sudah mengambil borang permohonan.
“Tetapi setakat ini kami tidak lagi meluluskannya kerana tidak
menerima sebarang surat sokongan daripada jabatan teknikal, polis atau
bomba.
“Jika ada surat sokongan barulah ia akan disalurkan ke bahagian perlesenan untuk diluluskan,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior
Faridalatrash Wahid ketika dihubungi tidak mahu mengulas lanjut isu
konsert berkenaan berikutan masih baru menerima permohonan daripada
penganjur semalam.
Katanya, polis mungkin tidak akan mengeluarkan permit sekiranya penganjurannya membawa kesan negatif.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan