Oleh : Liew Chin Tong
Apabila saya melontarkan soalan “bolehkah kita bayar rakyat
supaya mereka menaiki bas?”, jawapan diberi ialah “tidak!” Namun
seandainya kita meneliti dengan lebih mendalam, barangkali pengangkutan
awam (terutamanya bas, memandangkan pengangkutan jenis lain lebih
menelan kos dan memakan masa untuk direalisasikan) yang ditampung dana
awam adalah jawapan untuk menangani cabaran ekonomi dan kewangan
Malaysia.
Kerajaan Najib telah bertekad untuk melakukan dua perkara
serentak pada tahun kewangan akan datang iaitu, pertama, melaksanakan
Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mulai 1 April 2015 dan, kedua,
menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Jala, harga minyak akan
dinaikkan
sebanyak 30% hingga 50%. Sudah tentu kerajaan kita lebih
selesa dengan kata-kata yang lebih lunak, iaitu “rasionalisasi subsidi”,
jika dibandingkan dengan istilah yang senang difahami ramai, iaitu
“naik harga”.
Dalam isu GST, Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak telah
menerima nasihat yang kurang bijak daripada penasihatnya dan juga firma
akaun (yang kebetulan menjadi satu-satunya pihak yang dimanfaatkan oleh
pelaksanaan GST) bahawa GST adalah cara terbaik untuk mengimbangi angka
perbelanjaan atas kertas.
Sudah tentu beliau akan membayar harga politik yang
membebankan kerana, antaranya, tidak meneliti GST secara terperinci,
tidak menangani masalah rasuah dan pembaziran sebelum melaksanakan
sistem pencukaian yang zalim, dan tidak mencari alternatif yang lain.
GST adalah cukai baru ke atas jutaan rakyat Malaysia yang
sebelum ini tidak pernah membayar cukai secara langsung. Dengan
pelaksanaan GST kelak, mereka terpaksa membayar cukai apabila mereka
membeli. Sudah tentu kita sedar akan masalah “elak cukai” yang berlaku
sekarang, tetapi kita mempunyai undang-undang yang memadai untuk
menangani masalah ini. Jadi masalah “elak cukai” bukan isu di sini.
Realitinya, kebanyakan rakyat tidak membayar cukai kerana
pendapatan mereka tidak mencecah angka yang memadai untuk dikenakan
cukai. Kerajaan Barisan Nasional sudah tentu memahami hakikat ini dan
telah menabur gula BR1M untuk isi keluarga yang mana pendapatan bulanan
mereka di bawah paras RM4,000. Lebih 60% daripada populasi Malaysia
tergolong dalam kategori ini.
Maka kenyataan Najib bahawa GST adalah “adil” untuk
mengagihkan beban daripada cuma 1.2 juta pembayar cukai sekarang kepada
semua rakyat Malaysia menjadi bahan lawak.
Pelaksanaan GST pada peringkat ini menghakis lagi
“pendapatan boleh guna” golongan 60% terbawah. Dengan kata lain, perut
perlu diikat dengan lebih ketat lagi. Itu belum lagi kita sentuh dampak
negatifnya terhadap ekonomi permintaan domestik secara keseluruhannya.
Permintaan domestik telah menjadi talian hayat kepada ekonomi Malaysia
sejak krisis kewangan global berlaku, kerana pasaran luar telah
terbantut.
Tawaran kerajaan untuk pelaksanaan GST adalah potongan
cukai pendapatan dan ia akan menjurus ke arah sebuah masyarakat yang
lebih tidak sekata.
Dalam isu minyak pula, secara teorinya, jika dijual tanpa
subsidi, penyeludupan tidak akan berlaku, tiada lagi ketirisan dalam
bajet, dan minyak akan digunakan secara berkesan. Dengan kata lain,
pelepasan karbon juga boleh dikurangkan.
Tetapi kesan yang menyusul juga sama pentingnya dengan apa
yang kita lakukan. Urutan dasar adalah sama penting dengan dasar itu
sendiri. Menaikkan harga minyak tanpa menawarkan pengangkutan awam yang
memenuhi keperluan dan berkesan hanya akan ‘meragut nyawa rakyat’.
Apa tidaknya, mereka yang memandu kereta kecil seperti
Kancil, Viva dan sebagainya (biasanya berpendapatan rendah), terpaksa
menggunakan motosikal untuk menjimatkan kos pengangkutan. Tetapi
sebagaimana kita sedia maklum, penunggang motosikal adalah golongan
mangsa terbesar dalam kemalangan jalanraya.
Menurut laporan Keselamatan Jalanraya tahun 2013 oleh
Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Malaysia mencatat kematian tertinggi di
jalanraya bagi setiap 100,000 penduduk di dunia (India 18.9, Rusia 18.6,
China 20.5, Malaysia 25). Bagaimanapun tiada orang menafsir angka ini
sebagai loceng amaran, tiada juga sesiapa bersuara tentang ‘pembunuhan’
secara besar-besaran yang berlaku saban hari. Penunggang motosikal
mencakupi 60% daripada kematian di jalanraya.
Harga minyak hanya boleh diletakkan pada harga pasaran
tanpa subsidi seandainya perkhidmatan pengangkutan awam berada di tahap
yang memuaskan – cukup untuk membuatkan penunggang meninggalkan
motorsikal mereka di rumah. Jikalau tidak, maka tangan penggubal dasar
‘dicemari dengan darah’.
Sebuah bas buatan Eropah yang baik menelan kos kira-kira
RM600,000. Kos operasi tahunan untuk sebuah bas pada umumnya tidak lebih
daripada RM200,000, termasuk tenaga kerja dan kos minyak. Jadi, dengan
RM2 juta cukup untuk kita membeli sebuah bas dan menanggung kos operasi 7
tahun. Perhitungan kasarnya, RM2 bilion boleh menyediakan kita 1,000
unit bas.
Kuala Lumpur kini mempunyai kurang daripada 1,000 unit bas,
sedangkan pada tahun 1985, sebelum pelancaran kereta Proton (ketika bas
adalah alat pengangkutan untuk kebanyakan orang), kita mempunyai
sekurang-kurang 1,500 unit bas, termasuk bas mini.
Subsidi minyak menelan RM29 bilion pada tahun 2014. Ia
boleh menampung banyak bas untuk banyak tahun, secara percuma. Dan
antara kebaikan selebihnya, menangguhkan pelaksanaan GST. –
Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan