Indonesia
baru saja menerima secara rasmi Joko Widodo atau Jokowi sebagai
Presidennya yang ketujuh menggantikan Susilo Bambang Yudhiyono. Beliau
mengangkat sumpah pada 22 Oktober lalu dan sekaligus mencatat sejarah
sebagai presiden pertama yang datang daripada orang kebanyakan.
Sebelum
menjadi Gabenor Jakarta, Jokowi hanyalah seorang jurujual perabot.
Kejayaannya melaksanakan banyak pembaharuan di kota Jakarta, kerap turun
padang, selesa menyantuni golongan miskin dan selalu memakai baju yang
sama, merupakan antara resepi kejayaannya mengungguli 53 peratus undi
dalam pilihanraya presiden yang lalu.
Sebelum
Jokowi juga, semua enam presiden Indonesa sebelum ini datangnya sama
ada daripada golongan keluarga ahli politik terkenal, ahli perniagaan
mahu pun elit ketua tentera. Tetapi Jokowi tidak termasuk dalam semua
kriteria itu. Belia hanya orang biasa yang bukan daripada keluarga dan
keturunan siapa-siapa.
Sementara
rakyat Indonesia kelihatan berbangga dengan perlantikannya serta
berharap dapat mengaplikasi lebih banyak kejayaan sebagaimana yang
pernah dilakukannya ketika menjadi Gabenor Jakarta, media-media
antarabangsa juga memuji Jokowi.
Banyak
media antarabangsa yang merasakan perlantikan Jokowi sebagai peluang
terbaik untuk Indonesia melangkah lebih gagah ke hadapan kerana ia
membuktikan kejayaan manusia biasa mencapai cita-citanya berdasarkan
kebolehan, daya fikir serta merit di sebuah negara yang berpenduduk
kira-kira 250 juta orang jumlahnya.
Tetapi
di Malaysia, apa yang berlaku? Kerajaan BN yang hanya memenangi 48
peratus undi popular dalam pilihanraya 2013, bukan saja tidak
habis-habis dengan gelora dan caca-marbanya, malah masih terkepung
dengan keinginan menonjolkan golongan tertentu saja sebagai ketuanya.
Menjelang
PRU 14 yang akan diadakan sebelum Mei 2018, sudah banyak diperbualkan
ketika ini mengenai pengunduran Timbalan Perdana Menteri, Munyiddin
Yassin daripada parti dan kerajaan.
Dengan
usianya sudah menjangkau 68 tahun berbanding Najib yang berusia 61
tahun, Muhyiddin bukan saja dianggap sudah tua, malah mungkin sudah
letih untuk terus mengejar impian menjadi Perdana Menteri. Beliau
dikatakan sudah cukup gembira dapat bersara sebagai Timbalan Perdana
Menteri saja.
Muhyiddin
diperbualkan secara meluas akan digantikan oleh Hishammuddin, sepupu
Najib yang mendapat tempat ketiga dan hampir kecundang dalam pemilihan
Naib Presiden UMNO pada penghujung 2013 lalu. Selain Ahmad Zahid Hamidi
dan Shafie Apdal yang selesa memenangi jawatan tersebut, Hishammuddin
hanya berbeza sembilan undi saja dengan Mukhriz Mahathir yang berada di
tangga keempat dan pertama kali menyertai persaingan kerusi nombor tiga
UMNO itu.
Tidak
seperti Indonesia yang sudah melangkah jauh dengan menobatkan orang
kebanyakan sebagai ketua negaranya, UMNO jika terus berkuasa, jawatan
utamanya masih lagi berlegar di kalangan kelompok bangsawan saja. Najib
yang merupakan anak bangsawan dan anak bekas Perdana Menteri, bukan
rahsia lagi lebih cenderung memilih sepupunya, juga anak bangsawan dan
anak bekas Perdana Menteri sebagai penggantinya.
Meskipun
tidak dinafikan kuasa melantik Timbalan Perdana Menteri adalah hak dan
kuasa Perdana Menteri dan jika perlantikan itu dibuat sebelum pemilihan
UMNO yang seterusnya, pastilah Timbalan Perdana Menteri akan menang
secara percuma jawatan Timbalan Presiden UMNO. Tidak ada mana-mana
pemimpin yang mahu menggantung diri dengan sedia mencabar seseorang yang
sudah ditunjuk itu.
Itulah
yang biasa dilakukan oleh UMNO sebelum ini, kecuali Anwar yang dilantik
sebagai Timbalan Perdana Menteri setelah menang jawatan Timbalan
Presiden UMNO pada pemilihan 1993. Selepas Anwar, semua Timbalan
Presiden UMNO dijadikan Timbalan Perdana Menteri terlebih dahulu dan
mereka akhirnya mendapat jawatan itu tanpa mengeluarkan walau setitik
peluk pun.
Jika
benar Muhyiddin akan berundur sebelum atau selepas PRU 14 akan datang
dan jika benar juga desas-desus dan khabar angin bahawa Hishammuddin
akan dilantik sebagai pengisinya, bermakna Najib juga cuba memberikan
jawatan nombor dua dan mungkin bakal pewarisnya dalam parti dan kerajaan
secara percuma kepada sepupunya itu.
Sekali
lagi walaupun ianya merupakan hak dan kuasa Najib tetapi dalam dunia
berasaskan keterbukaan, kompetetif dan merit sekarang ini, jika benar
Najib mahu melantik Hishammuddin sebagai pengganti Muhyiddin, ianya
adalah langkah ke belakang yang bakal menjadi cemuhan dunia dan ditolak
secara senyap oleh majoriti rakyat.
Walaupun
beberapa Timbalan Perdana Menteri sebelum ini dilantik atas kedudukan
undi ketiga sebagai Naib Presiden UMNO, era itu seharusnya sudah menjadi
dinasour. Dunia, zaman dan pemikiran rakyat sudah banyak berubah.
Berdasarkan merit dan kompetetif tadi, jika Muhyiddin mahu berundur,
penggantinya mestilah dipilih daripada Naib Presiden yang mendapat undi
paling tinggi dan bukannya yang ketiga, kedua atau mengikut selera
Perdana Menteri.
Dan
sekiranya amalan itu tidak mahu dilakukan, seharusnya biarlah diadakan
pemilihan jawatan Timbalan Presiden UMNO terlebih dahulu dan siapa yang
menang barulah layak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan