Dalam tempoh berlakunya krisis Menteri Besar Selangor, ada
dua keadaan yang buat saya terlopong dan benar-benar terkejut serta
sukar menerima kenyataan.
Satunya bila lewat tengah malam saya menerima berita
daripada seorang sahabat yang meminta saya menyemak dengan ahli keluarga
YB Saari Sungib apakah benar berita bahawa beliau sedang krikital
lantaran serangan jantung.
Ini berlaku setelah di siang harinya, iaitu
pada 15 September, YB Saari Sungib bersama ADUN Morib YB Hasnul
Baharuddin telah secara terbuka menyatakan sokongan mereka dengan
pencalonan Dato’ Seri Wan Azizah sebagai Menteri Besar menggantikan Tan
Sri Khalid Ibrahim yang dipecat keahlian daripada PKR. Mereka
menandatangani akuan bersumpah menyokong pilihan PKR.
Mereka kemudiannya dihina dan dikutuk sebagai pengkhianat.
Paling teruk mereka dituduh dengan kesat sebagai pengkhianat parti dan
mengkhianati sumpah yang mereka lafazkan sebagai syarat ketika
bertanding dalam pilihanraya sebagai calon PAS.
Ternyata berita tersebut adalah fitnah semata walaupun
turut disiarkan oleh Sinar Harian yang memohon maaf kemudiannya. Ini
semua hanyalah usaha segelintir pihak yang sangat memarahi tindakan
kedua-dua ADUN ini menggagalkan misi mereka.
Satu tindakan yang amat keji!
YB Saari Sungib masih sihat dan masih berbakti kepada rakyat di kawasannya.
BARUA, ADUN dicuri dan dibeli
Sekali lagi saya benar-benar terlopong bila mendengar
ucapan Tuan Guru Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang tentang
“BARUA, ADUN dicuri dan dibeli” dalam ucapan penutupnya di Muktamar
Tahunan PAS di Johor baru-baru ini.
Sukar untuk saya percaya dan terima tuduhan kesat itu
walaupun ia keluar dari mulut seorang yang diiktiraf sebagai ulamak
dalam dan luar negara.
Mengenali YB Saari Sungib sejak lebih 20 tahun yang lalu
membuatkan saya mempunyai pandangan yang jelas akan siapa beliau dan
bagaimana prinsip perjuangannya.
Beliau tidak akan tunduk pada kezaliman dan pada mereka
yang zalim dan tidak adil, berkhidmat untuk rakyat dan memegang amanah
dan tanggungjawab sebaiknya. Ini terbukti dengan keyakinan rakyat Hulu
Kelang kepada beliau baik Melayu, Cina, India dan pelbagai agama dan
bangsa dan segenap lapisan masyarakat. Ada yang berjanji mereka tidak
akan menerima calon lain sebagai wakil rakyat Hulu Kelang sekiranya
tempatnya digantikan dengan calon yang lain.
YB Saari Sungib yang saya kenal
YB Saari Sungib, atau panggilan mesranya Pak Abu, yang saya
kenal ialah seorang yang sangat berprinsip dan tegas. Berani melawan
kezaliman secara terang-terangan. Ini terbukti bila beliau dua kali
ditangkap dan ditahan di bawah Akta Zalim ISA.
Bagi ramai aktivis dan penggerak dakwah, perkenalan dengan
YB Saari Sungib ialah melalui bacaan dan diskusi dalam siri perjumpaan
yang dikenali sebagai ‘Usrah’, menggunakan siri buku ‘Risalah Usrah’
tulisan beliau. Saya dan suami juga antara yang memiliki buku ini dan
menjadikannya bahan rujukan ketika kami mula berjinak-jinak dan aktif
dalam gerakan dakwah ketika belajar di luar negara.
Bila pulang ke Malaysia, siapa sangka yang saya dapat
bekerja di pejabat beliau yang dipanggil ‘Pejabat Presiden’ ketika itu,
di tahun 1991, menguruskan hal-hal keahlian dan penerbitan risalah untuk
edaran kepada ahli. Bermula dari situlah hubungan kami jadi seperti
sebuah keluarga.
Dari situ saya sudah melihat sifat kekeluargaan yang ada
pada YB Saari. Ahli keluarga terutama isteri beliau serta kakak-kakaknya
turut sama membantu dalam pekerjaan.
Hubungan saya dengan keluarga YB Saari bertambah rapat di
era Reformasi, bermula detik 2 September 1998, ketika Dato’ Seri Anwar
Ibrahim dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri. Suami saya
menjadi orang yang sentiasa bersama YB Saari dalam gerakan Reformasi
ketika itu. Kami bergerak hampir ke seluruh negara bersama bagi
membentuk gerakan rakyat menentang kezaliman kerajaan UMNO Barisan
Nasional.
Ketika YB Saari ditangkap di bawah akta zalim ISA kali
pertama, suami saya antara sahabat-sahabat membantu urusan keluarga,
juga urusan berjuang bagi pembebasan beliau dan rakan-rakan lain yang
juga ditangkap.
2 Jun 2001, ketika dikejutkan dengan penangkapan YB Saari
buat kali kedua bersama aktivis Reformasi yang lainnya di bawah ISA,
sekali lagi keluarga kami menjadi antara yang bertanggungjawab menjaga
urusan kebajikan keluarga para tahanan – perjuangan yang bukan semata
kerana kami ‘penyokong tegar’ YB Saari tetapi demi rakyat tanpa mengira
siapa selagi mereka dizalimi dan selagi ada pemimpin yang zalim dan
tidak adil.
Ketika inilah, selama dua tahun tepat, keluarga kami begitu
rapat. Saya melihat bagaimana seluruh ahli keluarga ini, iaitu
anak-anak dan terutama sekali isterinya Puan Aliza, bangun berjuang
habis-habisan untuk membebaskan YB Saari kerana amat yakin dengan
perjuangan beliau menentang kezaliman.
Walaupun bukan ahli keluarga YB Saari, saya pernah dua kali
mendapat peluang melawat beliau ketika merengkok dalam Kem Kamunting.
Sifat kasih kasih-sayang sebuah keluarga amat jelas. Pertemuan keluarga
setiap minggu berulang alik dari Kuala Lumpur ke Kamunting juga tidak
pernah menjadi beban buat keluarga ini bagi memastikan mereka yang di
dalam dan di luar terus kuat untuk berjuang.
Hasil daripada perjumpaan tanpa henti dan jemu selama dua
tahun ini jugalah yang membuatkan momentum perjuangan rakyat di luar
juga terus kuat. Saya rasa amat bertuah dan bangga juga kerana saya
menjadi orang yang dipertanggungjawabkan oleh YB Saari untuk menyediakan
bahan-bahan bacaan berkaitan dengan tahanan tanpa bicara dan isu-isu
politik dalam negara untuk disampaikan kepada mereka yang berada dalam
Kem Tahanan Kamunting. Bahan-bahan bacaan itu dibawa oleh para peguam di
setiap lawatan, di samping buku-buku lain sebagai bahan bacaan.
Maka tidak hairanlah juga bila sejak merengkok dalam KEMTA
beliau berjaya menghasilkan beberapa siri buku tentang kezaliman ISA .
Kami juga bertuah kerana sering diraikan dalam majlis makan
bersama keluarga jika ada peristiwa yang penting berlaku seperti di
waktu suami saya dibebaskan dari Penjara Tapah kerana kesalahan
menyertai perhimpunan aman dan juga ketika mahkamah Tinggi Ipoh
memberikan keputusan bahawa hukuman penjara dua tahun ke atas suami saya
digugurkan.
Antara pengalaman menarik bersama keluarga ini ialah ketika
kami turut sama menguruskan pernikahan anak-anak YB Saari dan Puan
Aliza. Jun 2006, keluarga ini melangsungkan perkahwinan 3 orang
anak-anak secara serentak. Saya kira itulah majlis perkahwinan yang
sangat ringkas.
Makanan yang ditempah hanyalah Nasi Kukus Ayam Berempah.
Itu sahaja dan jemputannya juga tidak ramai. Selesai tanggungjawab
sebagai ibu bapa Muslim dan contoh yang ingin diketengahkan ialah
bersederhana dan berjimat cermat serta berhemah dalam perbelanjaan.
Saya yakin ini juga yang dapat dilihat dari pengurusan di
kawasan yang diwakilinya di Hulu Kelang. Isteri dan anak-anak tetap
memainkan peranan penting dalam membantu tugasnya sebagai ADUN Hulu
Kelang agar khidmat yang terbaik dapat disalurkan kepada rakyat di
kawasannya.
Saya sendiri adalah pengundi untuk kawasan Hulu Kelang dan
pasti akan terus mengundinya dalam pilihanraya yang akan datang. Saya
yakin penduduk setempat tanpa mengira bangsa dan agama akan terus
memilihnya atas rekod cemerlang di kawasannya.
Kemelut krisis Menteri Besar Selangor sudah selesai dengan
terlantiknya YAB Azmin Ali sebagai Menteri Besar yang baru. Keadaan
kembali tenang untuk sebuah kerajaan Negeri juga selesai dengan
terlantiknya EXCO yang baharu.
Namun masalah dalaman PAS sebagai sebuah parti yang hebat
dan besar masih tidak dapat diselesaikan. Masih tidak selesai lagi
tanggapan yang buruk terhadap dua orang ADUN yang terlibat yang masih
dilabel sebagai pengkhianat.
Harapan sesetengah rakyat yang meletakkan harapan yang
tinggi kepada sebuah parti yang dianggap hebat umpama hancur dan banyak
orang merasakan Pakatan hanya menanti saat untuk pecah dan berkecai.
Namun, untuk seorang yang berjiwa besar seperti YB Saari
yang saya kenali, beliau tidak akan berundur dan menyerah kalah walau
difitnah, dikutuk dan dizalimi.
Beliau akan tetap bersama perjuangan parti yang beliau
dukung sepertimana jawapannya kepada media bahawa beliau masih ahli PAS
hingga ajal dan tidak akan meninggalkan parti.
Itulah YB Saari yang saya kenali – berjuang demi agama dan rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan