MALAYSIAKINI
Penggunaan daun betik sebagai rawatan alternatif bagi membantu
meningkatkan platelet dalam darah, menunjukkan kesan positif dan
terbukti berkesan membantu merawat demam denggi.
Sebelum ini beberapa institusi menjalankan kajian terhadap daun betik
yang pada awalnya untuk melihat keberkesanannya dalam merawat beberapa
jenis penyakit termasuk diabetes, namun ia dilihat lebih sesuai untuk
merawat demam denggi.
Seorang penyelidik dari AIMST University Dr VS Kathiresan berkata
pihaknya memulakan penyelidikan pada 2008 untuk melihat bagaimana daun
betik dapat meningkatkan platelet dalam darah tikus.
"Kajian kami dalam ujian praklinikal menunjukkan dalam tempoh empat jam,
bilangan platelet dalam darah setiap tikus meningkat tiga kali ganda.
Daun betik mempunyai banyak enzim yang membantu meningkatkan platelet
darah.
"Penyelidikan ini sebenarnya pernah disiarkan dalam 'The Middle European
Journal of Medicine' pada 2009, dan hasil penyelidikan ini sebenarnya
menjadi asas kepada mereka yang menjalankan kajian berkaitan," katanya
kepada Bernama ketika ditemui di universiti itu dekat Sungai Petani.
Dr Kathiresan berkata walaupun kajian itu dilakukan lebih awal dan
pernah dihebahkan menerusi media massa, namun tidak ramai yang berani
mengamalkannya kerana belum lagi terbukti secara klinikal.
"Ia pernah disiarkan dalam akhbar The Star pada 31 Ogos 2011 dan mendapat liputan Bernama pada
2010, namun ramai yang beri reaksi negatif, tetapi bila Institut
Penyelidikan Perubatan buat pendedahan, kita tahu yang ia tidak bahaya.
"Kajian awal yang kita jalankan tidak melibatkan masyarakat, namun ia
kini terbukti secara klinikal. Selepas itu tidak ada susulan (selepas
penyelidikan awal) sebab ujian praklinikal melibatkan tikus, tidak ada
masalah, tetapi apabila ujian melibatkan manusia, terdapat peraturan
tertentu yang perlu
dipatuhi,' katanya.
Dr Kathiresan berkata penggunaan daun betik untuk membantu merawat demam
denggi adalah mudah kerana selain senang diperoleh, ia juga tidak perlu
melalui proses yang rumit, sebaliknya boleh dimakan seperti ulam.
"Melalui ujian praklinikal, daun betik dikeringkan, dicarik kecil-kecil
dan dikisar menjadi serbuk halus sebelum diuji ke atas tikus.
"Bagi manusia, kita boleh makan terus dan daun betik yang dimakan itu
akan menunjukkan perbezaannya dalam tempoh empat jam. Bagaimanapun
peningkatan platelet dalam darah boleh dilihat dalam tempoh sejam,"
katanya.
Dr Kathiresan berkata lebih 20 pesakit demam denggi pernah
menghubunginya dan beliau menyarankan mereka supaya mengambil dua hingga
tiga helai daun betik, dua kali sehari, untuk diamalkan dan ia tidak
memberi kesan sampingan walaupun kepada kanak-kanak.
"Mereka menghubungi saya semula dan memaklumkan bahawa selepas makan
selama tiga atau empat hari, mereka sudah sembuh. Bagi kes denggi, ia
lebih sesuai untuk pesakit mengalami demam denggi peringkat awal.
"Perlu diingatkan, daun betik yang akan dimakan secara segar perlu
dicuci getahnya sehingga bersih, dan daunnya pula tidak terlalu muda
atau tidak terlalu tua," katanya.
Dr Kathiresan sudah melakukan lebih 30 penyelidikan, kebanyakannya
melibatkan penggunaan bahan terbuang untuk dijadikan bahan berfaedah.
"Kami kini mengorak langkah untuk menguji dengan menyeluruh pohon, daun,
kulit buah yang hijau dan kuning, batang serta akar betik. Kita akan
lihat kesan semua bahagian ini, malah kita juga akan lihat dari segi
variasi, buah tempatan dan buah dari negara lain," katanya.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan