Oleh Ridzwan Abu Bakar
Masa depan politik Pas dalam persada dunia politik kuasa tanahair sedang dibincangkan dengan
hebat oleh pelbagai pihak, yang menyokong, yang menentang mahupun yang
memberikan harapan dan pergantungan kepada parti politik seumpama PAS
yang mendokong prinsip "rahmatan lil alamin".
Apakah masa depan PAS dalam persada politik kuasa? Dan apa pula masa
depan negara bersama PAS? Dua persoalan berbeza yang bermain dalam minda
para pemain dan pemerhati politik yang akan mengulas dan meng"ayak"
persoalan tersebut sehingga akhirnya akan mempengaruhi khalayak massa.
Apapun, apabila berbicara tentang "masa depan PAS", kita sedang
berbicara berkaitan satu perkara yang ghaib, yang tidak diketahui secara
pasti melainkan oleh Allah, Tuhan Yang Maha Mengetahui. Namun, ada
ukuran yang boleh kita berpegang dengannya, iaitulah ukuran sunnatullah
"dan sesungguhnya sunnatullah itu tidak akan berubah ganti" (Al Fath
23).
Diantara sunnatullah ialah "anda akan tuai apa yang anda tanam", kita
tidak mungkin tahu apa yang akan kita tanam esok, kerana kita juga kita
tahu apakah kita masih punya esok, namun kita boleh "agak" apakah hasil
tanaman kita pada satu ketika berdasarkan usaha kita menanam dan
menjaga tanaman kita. Bahkan Allah mengajar kita supaya membuat jangkaan
masa berpandukan "amalan" yang kita tanam di dunia ini, "Wahai orang
yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan telitilah apa yang akan
dipersembahkan pada hari esok (di akhirat kelak) dan bertaqwalah kepada
Allah, sesungguhnya Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan. Dan
janganlah kamu jadi seperti orang yang lupakan Allah lalu Allah lupakan
mereka" (Al Hasyr 18,19).
Kesimpulannya, masa depan PAS tidak dapat lari melainkan ia merupakan
hasil dari agenda bertindak dan apa yang sedang di"tanam" oleh pimpinan
kepada khalayak massa pada ketika ini.
Tiada siapa pun boleh menafikan bahawa masa depan PAS juga dirancang
dengan teliti oleh pihak lain yang memusuhi PAS, namun perancangan PAS
terhadap dirinya pada hari ini lebih berkesan untuk mencorak masa depan
yang "bagaimana"?
Apakah "PAS masa depan?"
Sebelum meneruskan, saya ingin nyatakan bahawa kita amat yakin dengan
"ISLAM" yang diperjuangkan oleh PAS, dan inilah antara penyebab utama
kebanyakan orang berintima dengan PAS (paling tidak saya dan kebanyakan
yang saya kenali dalam pas).
Sudah tentulah Islam yang diperjuangkan oleh PAS adalah Islam yang
"satu satunya" dan yang "original". Lalu, kita tidak perlu bincangkan
tentang Islam masa depan kerana Islam itu sendiri "sesuai untuk semua
keadaan dan semua zaman". Namun, yang kita akan bincangkan adalah PAS
sebagai pembawa Islam dalam zaman yang serba mencabar ini.
Islam dengan makna perbincangan aqidah, syariah dan akhlak adalah
perkara yang tetap dan boleh dilaksanakan dalam pelbagai zaman. Namun,
kaedah untuk menjalinkan keperluan ummat kepada Islam dan tuntutan zaman
itu yang perlu difikirkan.
Secara ringkasnya, ummat diseluruh dunia sedang berhadapan dengan tiga pola faham berkaitan Islam.
1. Ada kelompok yang giat membicarakan berkaitan Islam dan cabang
Aqidah, syariah dan akhlak secara terpisah. Ada yang mahukan "aqidah
mesti jelas sekali pun syariah tak boleh dilaksanakan" "dakwah tanpa
negara" "tegakkan kebenaran tanpa prinsip" "ibadah tanpa muamalah" dan
sebagainya.
2. Ada yang mempromosikan Islam dengan wajah yang ganas, mereka
memusuhi siapa sahaja yang tidak bersama mereka, dapat membunuh insan
lain dan memperagakan pembunuhan itu di khalayak dianggap jihad. Tiada
dialog dengan pihak lain, yang ada hanya hukum dan peraturan.
3. Ada juga sekelompok para pejuang agama yang ingin membawa Islam
dengan wajah yang damai dan rahmat, agama yang membawa kegembiraan bukan
kesengsaraan, agama yang mempromosikan taaruf dan dialog, agama yang
menekankan konsep tasamuh, agama yang menolak taassub, agama yang
sentiasa disegarkan dengan usaha tajdid, agama yang menolak sikap
melampau. Pendeknya, agama yang ditawarkan adalah agama yang damai dan
membawa rahmat kepada seluruh manusia.
Yang ketiga inilah yang seharusnya digambarkan berkaitan "PAS masa
depan" kerana itulah Islam yang diturunkan oleh Allah swt kepada baginda
ar Rasul.
PAS dan para ulamanya perlu berinteraksi dengan zaman, dan memastikan
bahawa Al Quran dan as Sunnah sememangnya kitab penyelesai kemelut
ummah.
PAS masa depan tidak boleh bersaing dengan UMNO dalam mentakrifkan
Islam, kerana UMNO tidak layak pun untuk turut berbicara tentang Islam
yang mendamaikan. Paluan kompang UMNO dalam isu agama jangan dilayan
kerana itu semua adalah rencana mereka untuk mencacatkan "masa depan
PAS" dan "PAS masa depan".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan