MALAYSIAKINI
ULASAN Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melarang kita mengadakan diskusi tentang cabaran fundamentalisme agama minggu depan.
Alasannya, penganjur mengundang Ulil Abshar Abdalla, sarjana dan pendiri Jaringan Islam Liberal (JIL) yang kontroversi.
Diskusi pada pagi 18 Oktober bertajuk 'Cabaran fundamentalisme agama
abad ini' dianggap medan Ulil Abshar menyebarkan faham Islam liberalnya.
Maka,
Jakim berhujah panjang lebar betapa bahayanya pemikiran lulusan
Universiti Harvard ini, menantu kiyai Mustofa Bisri, seorang tokoh
Nahdhatul Ulama (NU) Indonesia.
Ketua pengarah Jakim berkata Malaysia hanya berpegang kepada aliran
Ahlul Sunnah Wal Jamaah dan sebarang usaha sebaliknya "boleh memberi
ancaman dan menggugat pegangan akidah umat Islam" dan "perlu dihalang
dan disekat."
Jakim berpandangan, diskusi itu nanti akan menyebarkan "liberalisme
agama" sedangkan Ulil Abshar termasuk "dalam kalangan mereka yang tidak
mempunyai autoriti dan boleh membawa implikasi buruk sehingga
menimbulkan keresahan awam."
"Penampilan pihak-pihak ini ke Malaysia bukan sahaja boleh merosakkan
hukum syarak secara halus malah bahaya, dan dikhuatiri boleh menggugat
persoalan akidah," Jakim dipetik sebagai berkata semalam.
Jabatan agama ini juga telah memaklumkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan berharap diskusi berkenaan disekat.
Zulkifli Noordin, bekas tokoh Perkasa dan bekas wakil rakyat PKR, dikatakan telah membuat aduan polis berhubung acara tersebut.
Beliau
mahu penganjurnya Islamic Renaissance Front (IRF) disiasat polis dan
tokoh muda Indonesia itu diberikan status 'persona non grata' (dilarang
masuk).
Nasib Ulil Abshar, katakan beliau dihalang ke negara ini nanti, lebih
malang daripada Karen Armstrong, sarjana pro-Islam yang dilarang bukunya
beberapa tahun dulu oleh KDN.
Karen, pengkaji fundamentalisme agama yang tersohor melalui 'The Battle
for God', dianggap tokoh yang kuat simpatinya pada umat Islam, khasnya
selepas paparan negatif Islam di Barat sejak tragedi 11 September 2001.
Daniel Pipes, tokoh pengkritik aliran radikal Islam, menyifatkan Karen
dan seorang lagi sarjana besar, John Esposito, sebagai "two of the
West's leading apologists for radical Islam."
Seperti nasib 'The Battle for God' Karen, karya Esposito -- 'What
Everyone Needs to Know About Islam' (terbitan Oxford University Press)
juga diharamkan di Malaysia pada Jun 2006.
Waktu itu, Abdullah Ahmad Badawi melancarkan gagasan Islam Hadhari dan
ketika agamawan Umno ini dikelilingi penasihat-penasihat progresif
'tingkat empat'!
Mengulas pengharaman bebal kerajaan Malaysia itu, Karen menulis di akhbar The Guardian (Julai 2007): "...
I arrived in Kuala Lumpur to find that the Malaysian government had
banned three of my books as 'incompatible with peace and social
harmony'.
"This was surprising because the government had invited me to Malaysia, and sponsored two of my public lectures.
"Their position was absurd, because it is impossible to exert this type of censorship in the electronic age."
Pengarang buku 'A History of God' dan 'Muhammad: A biography of the
prophet' (dua lagi bukunya yang diharamkan di sini pada 2005) menyindir
begini:
"In fact, my books seemed so popular in Malaysia that I found myself
wondering if the veto was part of a Machiavellian plot to entice the
public to read them."
Namun, tindakan bebal ini bukan hanya terkhusus pada kajian fundamentalisme Karen.
Seingat saya, sekurang-kurangnya ada dua lagi buku mengulas gejala
fundamentalisme Islam (kedua-duanya pengarang Muslim) diharamkan sewaktu
dunia sedang berminat memahami gejala ini, khususnya dalam konteks
radikalisme agama.
Kita tertanya-tanya kenapa kajian atau kupasan tentang fundamentalisme
agama, termasuk Islam, diharamkan sedangkan isu ini topik utama dunia
dalam tempoh beberapa dekad mutakhir.
Gejala fundamentalisme bukan terkhusus pada Islam. Malah, semua agama
termasuk Kristian dan Hindu juga mewarisi trend seumpamanya.
Buku Karen itu 'The Battle for God: Fundamentalism in Judaism,
Christianity and Islam' mengupas fundamentalisme tiga agama besar ini.
Ia sangat mendalam dan mengasyikkan bagi peminat kajian politik gerakan
Islam ala PAS, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) atau Angkatan Belia Islam
Malaysia (Abim).
(ii)
Utusan Malaysia, Umno dan Dr Mahathir Mohamad pernah berperang dengan gerakan dakwah dan gejala fundamentalisme sejak lewat 1970-an.
Tetapi tidak lama selepas tokoh Umno ini meninggalkan kerusi teratas
kepemimpinan negara, birokrasi agama kita bertukar sebuah gerakan dakwah
fundamentalis pula!
Seolah-olahnya birokrasi agama ini dan kerajaan terkena sumpahan Firaun.
Gara-gara takut takhtanya digoncang seorang anak muda (kemudian dikenali
sebagai Musa), raja Mesir ini memerintahkan agar semua bayi lelaki
dibunuh.
Tetapi dia tidak sedar anak kecil yang ditemui di tepi sungai itulah
pemuda yang dicari-carinya. Lalu anak kecil ini dimanjai dan dibesarkan
di istana gahnya sendiri. Mimpi ngerinya menjelma sebagai Nabi Musa.
Barangkali perlambangan tadi tidak serasi dengan isu fundamentalisme yang kita bahaskan di sini.
Tetapi sumpahan Firaun itu masih tepat untuk menunjukkan ketololan pemerintah berdepan dengan ancaman fundamentalisme.
Gejala yang dianggap oleh kerajaan dan Umno mengancamnya dan cuba
dikawalnya habis-habisan suatu waktu dulu, kini dibiarkan subur dalam
jelmaan baru, jelmaan Jakim atau KDN.
Kajian fundamentalisme agama yang seharusnya disebarkan seluas-luasnya
agar rakyat memahami dan berwaspada kini disorok daripada pengetahuan
umum.
Jika Abdullah memerangi buku-buku kajian fundamentalisme agama, kini
Najib Abdul Razak bercakap tentang bahaya pluralisme dan liberalisme
agama -- seolah-olah perdana menteri kita sedang berdakwah lagak seorang
anggota kumpulan Tabligh!
Tidak cukup pengharaman buku-buku, Jakim pula keliru antara diskusi isu
fundamentalisme, yakni isu sosio-politik gerakan agama seperti PAS,
dengan wacana "Islam liberal".
Alangkah jauhnya penyimpangan Jakim dalam memahami persoalan politik dan intelektual umat.
Jika di zaman Dr Mahathir, tokoh seumpama Ulil Abshar mungkin saja
diundang untuk mengupas bagaimana kita memahami dan mendekati gerakan
fundamentalis agama.
Namun,
ada sumpahan tolol lain yang Jakim dan KDN harus ambil iktibar. Buku
Karen, yang diharamkan pada 2005, akhirnya dibatalkan larangannya tiga
tahun kemudian!
'A History of God: The 4,000-Year Quest of Judaism, Christianity and
Islam', yang melonjakkan nama Karen, ditarik balik selepas kejadian
pelik pada 2007.
Sewaktu Karen diundang berucap di sebuah institut bawah Kementerian Luar
Malaysia di Kuala Lumpur, sewaktu sesi soal jawab, seorang peserta
menggesa kerajaan menarik balik pengharamannya.
Usulan ringkas peserta itu mendapat tepukan gemuruh para peserta lain!
Menteri luar Syed Hamid Albar pasti masih ingat tepukan gemuruh itu.
Setahun kemudian, Mei 2008, KDN memansuhkan ketololannya sendiri. Apakah nasib Ulil Abshar nanti seberuntung Karen?
FATHI ARIS OMAR, seorang editor Malaysiakini, mengenali Ulil Abshar Abdalla dari dekat sejak menjalankan kajian di Jakarta sedekad lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan