Oleh Abd Shukur Harun
SUDAH ada beberapa tanda positif bahawa krisis politik di Selangor semakin kendur dan insya-Allah mustahil akan berakhir kiranya semua pihak – Ke- ADILan, DAP dan PAS mengambil langkah positif untuk memperkukuh kembali Pakatan Rakyat.
Untuk itu, semua pihak – pemimpin dan pendukung KeADILan, DAP dan PAS - perlu segera menghentikan sebarang tindakan dan kenyataan provokasi yang kiranya boleh merosakakkan kembali suasana politik yang kini beransur pulih.
Oleh itu, sangat wajar semua pihak mematuhi nasihat Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya pemimpin, penyokong dan pendukung Pakatan Rakyat berhenti membuat sebarang ulasan yang berkaitan kerajaan Selangor.
Katanya: “Kita doakan semoga Allah SWT selamatkan Menteri Besar Selangor yang baharu serta anggota-anggota Exconya dunia sampai akhirat. Melalui cara ini semoga dapat meredakan segala kekusutan yang berlaku sebelum ini,” katanya.
Sebelum ini diberitakan ada segelintir pemimpin menyifatkan PAS dibuli DAP dan KeADILan serta mereka melakukan provokasi bagi menyingkirkan PAS daripada Pakatan Rakyat secara halus.
Demikian juga ada beberapa kenyataan hampir serupa yang keluar di pelbagai media, malah media musuh yang boleh mencederakan hubungan PAS dengan Pakatan Rakyat.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz berharap, dalam tempoh bertenang ini diharap semua pihak sama ada PAS atau KeADILan menahan diri daripada membuat sebarang ulasan khususnya berkaitan kerajaan Selangor.
Sebagai pemimpin berjiwa besar dan berpandangan jauh, Tuan Guru mengharapkan semua pihak supaya memberi ruang kepada Menteri Besar baharu serta barisan exconya yang baru menjalankan tugas dengan baik.
Ada dua mesej penting daripada Tuan Guru, pertama supaya semua pihak – pemimpin dan pendukung KeADILan, DAP dan PAS menahan diri daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan kontroversi dan menyalakan kembali krisis yang hampir padam.
Tentunya Tuan Guru Mursyidul Am juga menujukan nasihatnya ini kepada pendukung PAS semua peringkat supaya berhenti daripada membiarkan sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan mengenai politik dan pentadbiran Selangor. Ini adalah nasihat yang sangat tepat pada masanya.
Memang diakui, sejak akhirakhir ini ada sesetengah pendukung PAS sendiri sangat ‘rajin’ membuat kenyataan mengenai politik Selangor, iaitu kenyataan yang boleh menimbulkan kontroversi yang sama sekali tidak perlu. Oleh itu mereka sewajarnya mematuhi nasihat Mursyidul Am PAS itu. Ini bertepatan dengan konsep wala’ dan thiqah kepada pemimpin.
Dalam hal ini sejak dulu, ada pihak sering bercakap dan menuntut supaya ahli PAS menyatakan wala’, thiqah atau apa-apa saja perkataan yang mempunyai makna kesetiaan atau konotasi yang serupa, kepada pemimpin.
Oleh itu, inilah masanya pendukung PAS membuktikan wala’ dan thiqah kepada pemimpin dengan mematuhi arahan Tuan Guru.
Tetapi jika ada ahli PAS masih terus-menerus mengeluarkan ucapan atau kenyataan pelik atau yang tidak perlu sama ada di media sosial atau media biasa, maka ini bermakna bertentangan dengan arahan Mursyudul Am. Oleh itu jangan ada ‘double standard’ dari segi wala’ dan thiqah kepada pemimpin.
Sementara itu, satu lagi mesej penting daripada kenyataan Tuan Guru Mursyidul Am itu, ialah mengharapkan semua pihak supaya memberi ruang kepada Menteri Besar baharu serta barisan exconya menjalankan tugas dengan baik, malah beliau mengajak semua pihak supaya berdoa semoga Allah SWT menyelamatkan Menteri Besar Selangor serta anggota Exconya dunia sampai akhirat.
“Melalui cara ini semoga dapat meredakan segala kekusutan yang berlaku sebelum ini,” katanya.
Pada pendapat saya, pihak Ke- ADILan dan DAP juga sewajarnya memanfaatkan tempoh bertenang ini dengan berhenti daripada melanjutkan kenyataan provokasi antara sesama Pakatan Rakyat.
Tidak ada gunanya serang menyerang, memperkecil, menghina, menyindir, malah memperli satu sama lain Apa yang berlaku ini disebabkan semua pihak melakukan kesilapan menyebabkan tercetusnya krisis di Selangor. Ini berdasarkan fakta kronologi yang berlaku dan tidak ada siapa yang boleh menafikannya.
Oleh itu tidak perlu lagi saling salah menyalahkan. Ini kerana jika berterusan dilakukan, maka Pakatan Rakyat akan terus berantakan.
Jika terus-menerus berantakan, maka yang rugi ialah ketiga-tiga komponen dalam Pakatan itu sendiri menyebabkan Umno-BN bersorak- sorai.
Semua pihak dalam Pakatan Rakyat mestilah berusaha segera ke arah memulihkan imej dan persepsi Pakatan di tengah-tengah masyarakat, membuang ego dan pandangan sempit pemimpin dan pendukung serta menghapuskan sikap prejudis antara satu sama lain.
Rakyat sedang memerhatikan langkah yang akan diambil oleh Pakatan Rakyat untuk memulihkan kembali imej dan persepsinya. Jika imej dan persepi ini gagal dipulihkan oleh Pakatan, maka tunggulah puluhan tahun lagi baru Pakatan dapat diterima kembali oleh rakyat.
Selangor, negeri kaya dan ternama menghadapi krisis politik selama tujuh bulan itu, iaitu sejak Langkah Kajang dan kini sudah mendapat Menteri Besar baharu, Azmin Ali dan tentunya rakyat berharap pentadbirannya itu benar-benar adil dan peduli rakyat kerana kepimpinannya sedang diperhatikan sungguh-sungguh oleh rakyat.
Tentunya rakyat tidak mengukur kepimpinan beliau itu dari segi sama ada ia turun padang menemui rakyat dengan berkemeja lengan pendek atau memakai kot dan tali leher. Itu sebenarnya bukan ukuran yang dinilai oleh rakyat, tetapi prestasi kerjanya, keadilan yang ditunjukkannya, bersih dan ketelusannya.
Akhirnya yang dinilai tentulah prestasi kerjanya dan inilah yang akan ditentukan oleh rakyat apabila tiba pilihan raya umum mungkin kira-kira tiga tahun lagi.
Kesimpulannya, imej dan persepsi Pakatan masih boleh dipulihkan jika semua pihak dalam Pakatan bersedia dan mampu membaiki kerosakan tersebut. Antaranya, menghentikan kenyataan yang merosakkan imej dan persepsi Pakatan Rakyat seperti nasihat Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan