Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui bukan saja beliau bakal berdepan hukuman penjara kerana kes liwat kedua, bahkan terdapat kemungkinan berdepan hukuman penjara tambahan atas dakwaan kes hasutan.
Katanya, meskipun beliau dipenjarakan kerana kes liwat yang bakal diputuskan Mahkamah Persekutuan, kemungkinan pihak berkuasa mahu beliau mendiami penjara lebih lama dengan kes hasutan.
Malah ada yang mengatakan karier politik Anwar bakal berakhir sekiranya dijatuhkan hukuman lebih lima tahun penjara.
"Kes (hasutan) ini diluar siasatan polis kerana mereka telah menutup kes ini. Tetapi ada arahan dari Putrajaya kepada Pejabat Peguam Negara (AG).
"Saya ada masalah dengan AG, (Tan Sri) Abdul Gani (Patail) kerana beliau menganggap ia peribadi, walaupun saya amat berhati-hati.
"Saya hanya bercakap menentang sistem, kemungkinan penglibatan perdana menteri (dalam kes Altantuya Shaariibuu) dan langsung tidak menyentuh AG.
Anwar yang juga ketua umum PKR antara beberapa ahli politik terbaru yang disiasat bawah akta hasutan sejak Ogos lalu.
Polis mengambil kenyataan Anwar bulan lalu kerana isi ceramahnya pada 2011 di Gombak di mana beliau melancarkan kempen 'Datuk Najib Altantuya' (DNA).
Tiada Perjanjian 2004
Anwar turut menafikan bahawa beliau mempunyai perjanjian dengan kerajaan bawah Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2004, untuk membebaskan dari kes liwat sebelum ini yang dianggap "tidak dapat dipertahankan sebabnya."
"Ini tidak benar. Tiada sebarang jawapan diberi, kecuali ketika mula-mula berlaku (pendakwaan kes liwat pertama).
Anwar pada 1998 dipecat Mahathir yang menuduh beliau seorang homoseksual dan menyebabkan episod liwat 1.
"Saya berkata tidak (kepada tawaran Mahathir), ia satu-satunya ketika hal ini diperkatakan.
"Walaupun selepas itu, saya dengar ada beberapa rancangan, tetapi tidak pernah sampai kepada saya.
"Walaupun ia sampai kepada saya, tak mungkin selepas dipenjara enam tahun untuk tuduhan tidak betul. Kenapa nak kompromi?" katanya.
Seorang peguam kanan yang rapat dengan kepimpinan Umno memberitahu Malaysiakini terdapat perjanjian pada 2004 untuk membebaskan Anwar, di mana sebahagian daripadanya ialah bekas timbalan perdana menteri itu bersara terus dari politik.
Anwar telah memohon untuk membuang ayat yang dipertikaikan dalam penghakiman majoriti Abdul Hamid awal tahun ini tetapi gagal.
Ketua pembangkang itu dalam reaksi segera terhadap keputusan mahkamah ketika itu ialah "Allah! Ini seperti satu lagi keputusan penghakiman! Mengapa semua yang dibuat menentang Anwar jadi seperti ini?"
Kemudian Malaysiakini bertanya apakah pendakwaan kes liwat II dilakukan kerana beliau tidak mematuhi perjanjian 2004, dan beliau menyatakan perjanjian sebegitu adalah salah dan tidak patut dibuat.
"Adakah ketika itu menjadi asas (untuk mendakwa saya) kerana Anwar tidak mematuhi komitmennya (terhadap perjanjian itu), adakah ada komitmen?
"Ini amat penting, melibatkan persoalan moral dan etika. Jika terdapat perjanjian, ia memang tidak betul. Walaupun untuk mereka mematuhi perjanjian itu, ia tidak dapat dipertahankan," kata beliau.
Insiden mata hitam
Sementara itu Anwar menyatakan beliau kini lebih bersedia secara mental jika hukuman penjara dijatuhkan. Bagaimanapun persediaan fizikal mungkin terjejas kerana faktor usia beliau yang menjangkau 67 tahun ini.
"Tentunya ia memberi trauma. Anda sedar ia salah satu episod paling teruk dan hitam dalam hidup. Ketika itu saya berumur 50, kuat dari segi mental dan fizikal, bukan 67 (seperti sekarang)," kata beliau.
Walaupun menyatakan bersedia dari segi mental, Anwar berkata beliau mempunyai harapan kecil bahawa mahkamah akan membuat keputusan yang masuk akal dan siuman.
"Saya menjangkakan mahkamah paling tinggi negara akan menghormati prinsip kebebasan perundangan dan membuat keputusan berdasarkan undang-undang dan fakta," kata beliau.
Beliau juga berkata ini bukan bermaksud mahu membuktikan diri sebagai hero tetapi dia mahu menunjukkan beberapa kroni yang memanggil beliau pengecut walaupun mereka sendiri tidak berani berdepan satu hari dalam penjara.
Menurut beliau, kesediaan beliau berdepan dengan kemungkinan dipenjara menjadi cara untuk memberitahu golongan muda menuntut perubahan serta memperjuangkan kebebasan dan keadilan.
"Untuk mendapatkan perubahan, perjuangan untuk kebebasan dan keadilan menuntut pengorbanan kecil, dan ini harga yang saya perlu bayar," kata beliau.
Keputusan rayuan kes liwat II Anwar akan didengar di Mahkamah Persekutuan Selasa dan Rabu ini dijangka depan panel lima hakim.
[Baca berita asal]
Wawancara ini dijalankan oleh Zakiah Koya, Hafiz Yatim, Alyaa Azhar, Radzi Razak dan Prasadh Michael.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan