MALAYSIAKINI
Majikan swasta disaran memberi insentif yang lebih lumayan dan menarik
kepada para pekerja yang bekerja pada hari cuti umum seperti Hari Raya
Aidilfitri termasuk hari cuti umum khas lain.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata
langkah itu perlu kerana para pekerja memberi perkhidmatan terbaik
kepada majikan walaupun mereka berkorban untuk bertugas pada masa cuti
umum.
"Kementerian ada menerima aduan daripada pekerja bahawa mereka hanya
dibayar gaji seperti hari biasa sedangkan bertugas pada hari cuti umum.
Mereka (pekerja) ini bukan bekerja lebih masa atau over time (OT)
tetapi, bekerja pada hari kelepasan am ketika orang lain menikmatinya.
"Pengorbanan seperti ini wajar diiktiraf oleh majikan kerana mereka
terpaksa mengorbankan masa istimewa dan penting bersama keluarga
tersayang demi tugas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Bagaimanapun, katanya, terpulang kepada para majikan untuk menentukan
bentuk insentif yang ingin diberikan kepada pekerja yang terlibat
berdasarkan pengorbanan yang dilakukan demi syarikat.
Dalam pada itu Ismail memberi amaran tidakan tegas di bawah Akta
Pekerjaan 1987 boleh diambil ke atas majikan yang tidak mencarum pekerja
dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan
Sosial (PERKESO).
"Menjadi kewajipan kepada setiap majikan mencarum pekerja mereka walaupun hanya pekerja sambilan.
"Tindakan mencarum adalah untuk menjamin masa depan pekerja itu sendiri
kerana jika mereka ditimpa kemalangan dan musibah semasa bekerja atau
sebaliknya, nasib mereka akan terbela sekali gus menjamin masa depan
apatah lagi jika ia membabitkan kecederaan kekal," katanya.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan