Oleh Nur Atiqah Abd Samad
SHAH ALAM: Timbalan Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (JATI) Datuk Aidit
Ghazali menggesa pihak berkuasa lebih tegas mengambil tindakan terhadap
anasir yang menggunakan media sosial untuk memaki hamun institusi raja
di negara ini.
Kenyataan itu dibuat ekoran seorang yang dikenali Hu Long membidas
Sultan Selangor kerana didakwa memanjangkan kemelut krisis Menteri Besar
Selangor.
Kenyataan Facebook individu itu tersebar luas sejak beberapa hari lalu, namun petang tadi akaun Facebook itu tidak wujud lagi.
Aidit tidak menolak kemungkinan mesej menghina Sultan Selangor itu
didalangi oleh ahli parti politik tertentu yang terlampau liar bertindak
untuk memastikan presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
ditabalkan sebagai Menteri Besar Selangor.
"Perkara ini tidak mengejutkan, apabila lebih-lebih lagi kita ada
parti-parti politik songsang yang sengaja hendak menyemarakkan keadaan,"
kata beliau kepada Antarapos.
Beliau percaya mesej-mesej yang memfitnah institusi raja didalangi oleh
pihak yang ghairah menjadikan Malaysia sebuah republik dan bukan lagi
mendaulatkan sistem raja berperlembagaan.
"Sebab mereka ada agenda untuk jadikan negara kita sebuah republik.
Apabila sudah jadi republik maka akan memerlukan perubahan pada
perlembagaan persekutuan yang akan mengizinkan perkara yang setakat ini
tidak diizinkan perlembagaan persekutuan atas kepentingan agama, bangsa
dan negara," katanya.
Mesej Facebook Hu Long berbahasa Inggeris melontar tuduhan-tuduhan
tidak berasas dalam keghairahan untuk menyokong Wan Azizah.
Tambah Aidit lagi, pihak seperti Hu Long tidak mendedahkan identiti sebenar mereka bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
"Puak-puak ni selalu guna IP Address atau server luar negara jadi
mereka lakukan ini supaya tidak dapat dikesan pemilik Facebook itu.
"Namun demikian kebiadapan yang ditunjuk oleh pemilik akauan ini sama
ada ia adalah sahih atau tidak merupakan satu trend yang sangat
membimbangkan kerana ia sudah menjadi salah guna media sosial," ujar
beliau.
Malah beliau berharap pihak berkaitan memantau perkara ini dengan lebih
serius, bukan sahaja menggunakan undang-undang tetapi mendidik mereka
melalui pendidikan di sekolah.
"Penyalahgunaan media sosial ini perlu kita kawal dan urus, bukan
sekadar guna undang-undang tapi dengan mendidik masyarakat yang
bertamadun yang ada undang-undang, perlembagaan dan institusi raja,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan