Selasa, 26 Ogos 2014

Kes saman Abdul Khalid-SPRM selesai


mahkamah
 
 
 
KUALA LUMPUR - Kes saman Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan kerajaan Malaysia kerana membayangkan beliau menyalahgunakan kedudukannya selesai hari ini.

Penyelesaian itu direkodkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hue Siew Kheng dalam kamarnya yang dihadiri Peguam Kanan Persekutuan, Zureen Elina Mohd Dom yang mewakili Abu Kassim dan kerajaan.

Ketika ditemui pemberita, Zureen Elina berkata, plaintif (Abdul Khalid) memberhentikan tindakan saman  selepas anak guamnya menyiarkan penjelasan berhubung kenyataan berkenaan dalam laman web rasmi SPRM pada 3 Ogos lalu.

Tiada kos ditetapkan untuk tindakan itu.

Abdul Khalid, memfailkan saman terhadap Abu Kassim dan kerajaan pada 24 Disember tahun lepas kerana mendakwa menteri besar itu menyalahgunakan kedudukannya atas kapasiti peribadi dan penjawat awam.

Dalam penyataan tuntutannya, plaintif berkata pihak defendan pada 4 April tahun lepas menemu bual seorang bernama Airos Shahidin Manaf dan kemudian memuat naik rakaman temu bual itu ke dalam portal rasmi SPRM dan YouTube.‬

‪Beliau mendakwa temu bual itu kemudian dimuat turun, disalin, dicetak dan disiarkan dalam akhbar tempatan dan asing.

Abdul Khalid menegaskan bahawa kata-kata dalam artikel itu membayangkan beliau bersalah atas amalan rasuah, tidak amanah dan tidak layak sebagai seorang ahli politik.

Beliau berkata, pihak defendan gagal untuk mengesahkan kebenaran tuduhan itu, selain  menambah artikel itu menjatuhkan maruahnya sebagai Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan Adun Pelabuhan Klang.

Beliau menuntut ganti rugi dan/atau kerugian am serta ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan daripada Abu Kassim dan kerajaan.‬

Tiada ulasan: