MALAYSIAKINI
Saksi utama dalam perbicaraan kes Mejar Zaidi Ahmad yang dituduh memberi
kenyataan media tanpa izin pegawai atasannya, setuju bahawa Zaidi tidak
melakukan kesalahan menurut undang-undang tentera yang dirujuk dalam
kesnya.
Leftenan Kolonel Mohammad Rosli Yaakob yang bertindak sebagai yang
dipertua lembaga siasatan kes berkenaan, setuju apabila ditanya oleh
peguam Hanipa Maidin berkenaan perkara itu.
Beliau setuju bahawa hal berkaitan pilihan raya bukan hal-hal yang
berkaitan ketenteraan seperti dirujuk dalam Perintah Majlis Angkatan
Tentera No 13 Tahun 1961, Discipline and Security – Communication of
Information and Publication of Articles by Members of the Armed Forces -
yang terkandung dalam pertuduhan terhadap Zaidi.
"Saya katakan tadi bahawa kesalahan yang dibincang dalam Bilangan 13 berkait rapat dengan Bilangan 12 dan tak boleh lari.
"Saya
mengatakan bahawa kalau betul-betul baca masa siasatan, Kolonel akan
dapati seorang tentera seperti Mejar Zaidi melakukan kesalahan apabila
menerbitkan artikel dia sendiri yang berkaitan subjek ketenteraan.
"Itu yang timbulnya kesalahan. Setuju tak dengan saya?" tanya peguam Hanipa Maidin kepada Rosli.
"Setuju," jawab Rosli ringkas.
Namun, Rosli apabila ditanya pihak pendakwa menjelaskan bahawa Zaidi
masih perlu mendapatkan izin dari pihak atasan tentera sebelum
mengeluarkan sebarang kenyataan media.
"Saya setuju (dengan peguam) isu pilihan raya isu negara dan tiada
kaitan dengan ketenteraan tetapi dalam kes ini adalah permission
(kebenaran) untuk buat sidang akhbar.
"Kebenaran mestilah dipohon dari pihak atasan," katanya menjawab soalan Mejar Ahmad Azam Soip.
Perkara 12 merujuk kepada keizinan yang perlu diperolehi dalam masa dua
minggu sebelum seorang tentera menerbitkan atau menyiarkan kenyataan
menerusi akhbar atau sebarang jurnal.
Saksi dakwa diperangkap peguam
Rosli turut meninggikan suara sewaktu diasak oleh Hanipa Maidin untuk menjawab soalan berkenaan Perintah 13.
Hanipa: Yang dikatakan menjadi satu kesalahan kalau dia
(Zaidi) menerbitkan penerbitan berkaitan dengan subjek ketenteraan atau
tugas dia, itu yang tak dibenarkan dalam Perintah 13.
Rosli: Tak setuju.
Hanipa: Tidak setuju kerana fahamkah... (percakapan dipotong oleh Rosli)
Rosli: (Meninggikan suara) Saya faham! Saya yang buat siasatan itu!
Tindakan itu menyebabkan pendakwa membantah soalan Hanipa namun bantahan
ditolak oleh anggota panel mahkamah atas alasan peguam bela mempunyai
hak untuk menyoal balas saksi.
Rosli yang kelihatan berang sebelum itu menuduh Hanipa memutar belitkan
soalan untuk memerangkap beliau - namun ia dinafikan Hanipa.
"Saya tiada niat pusing (soalan) mungkin kamu terpusing sendiri.
"Minta maaf kalau kamu terpusing sendiri," kata Hanipa kepada Rosli.
Mejar Zaidi Ahmad, seorang juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia
(TUDM) menghadapi tujuh tuduhan di bawah Seksyen 51 Akta Angkatan
Tentera 1972.
Jika sabit kesalahan, Zaidi berdepan hukuman maksimum dua tahun penjara
atau mana-mana hukuman lebih ringan termasuk dibuang kerja.
Pendakwaan dilakukan oleh Mejar Ahmad Sanusi Ali, Mejar Ahmad Azam Soip, dan Kapten Ross Anuar Aripin.
Kes itu didengar di hadapan Kolonel Saadon Hasnan yang bertindak sebagai
yang dipertua mahkamah bersama lima ahli mahkamah terdiri daripada
Leftenan Kolonel Zainurin Mohd Dom, Mejar Khuzairi Mohd Arshad, Mejar
Khairul Nizam Taib, Mejar S Nadzeer Sallehuddin dan Mejar Noor Azman
Ahmad.
Zaidi pula diwakili barisan peguam Hanipa Maidin, Nasar Khan Mirbaz Khan dan Aminuddin Zulkipli.
Perbicaraan hari ini ditangguh oleh Kolonel Saadon kepada 2 September 2014 jam 9 pagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan