Selasa, 26 Ogos 2014

Warga MAS Akui Tragedi MH17 Beri Kesan Emosi

RAKYATEWS


alt
 


PETALING JAYA  - Insiden yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 diakui memberi impak terutama dari segi emosi kepada kakitangan syarikat penerbangan kebangsaan itu.

Ketua Komunikasi Strategik MAS Datuk Najmuddin Abdullah berkata, bagi memastikan emosi kakitangan yang terjejas tidak memberi kesan kepada tugasan harian, pihaknya mengambil inisiatif dengan turun padang menghampiri mereka.

"Kita (MAS) pergi ke setiap jabatan dan bahagian untuk bertanya khabar dengan kakitangan selain beri penerangan kepada mereka tentang insiden itu serta keadaan syarikat secara amnya," kata Najmuddin kepada pemberita selepas majlis bacaan Yassin, tahlil dan solat hajat untuk memperingati mangsa tragedi MH17 di sini, hari ini.

Majlis yang diadakan di Masjid Tengku Kelana Jaya Petra itu dihadiri kira-kira 500 kakitangan MAS dari pelbagai jabatan selain orang awam.

Selain itu, Najmuddin yang juga Naib Presiden Kanan berkata, pihaknya akan terus memberi sokongan dan bantuan kepada keluarga mangsa nahas pesawat MH17 kerana ia merupakan tanggungjawab syarikat.

Pada masa sama, Najmuddin berharap lebih ramai mangsa warganegara Malaysia yang terlibat dalam nahas MH17 dapat dikenal pasti dan dibawa pulang ke tanah air.

Setakat ini 24 jenazah mangsa tragedi pesawat MH17 telah dibawa pulang ke Malaysia sehingga semalam dan dua daripadanya tidak didedahkan identiti atas permintaan keluarga.

Sementara itu, pramugara MAS Azerol Hafizi, 26, berkata ketika ditemui berkata tragedi MAS merupakan satu insiden yang mengejutkan seluruh dunia, namun ia perlu diterima sebagai ketentuan takdir.

Ditanya adakah insiden itu 'menakutkannya" untuk terus berkhidmat di awan biru, Azerol berkata nahas itu langsung tidak melemahkan semangatnya untuk terus berkhidmat selagi diperlukan kerana percaya semua yang berlaku adalah ketentuan Ilahi.

Seorang lagi kakitangan MAS yang hanya mahu dikenali sebagai Ina berkata, selaku penjaga kebajikan kepada keluarga mangsa, insiden malang itu pastinya tidak dapat dilupakan sepanjang hayatnya.

"Dari hari pertama insiden, memang sedih sangat sebab kita tahu nasib malang yang menimpa rakan sejawatan dan penumpang lain. Lepas itu, kita dah dengan sepenuh hati memastikan keluarga mangsa dapat jagaan yang sepatutnya," katanya sambil menitiskan air mata.

Terdahulu, Imam Muda Hafiz atau Mohammad Hafiz Abdul Khodir dalam tazkirahnya berkata nahas MH17 bukan hanya dugaan buat keluarga mangsa, sebaliknya ia satu ujian yang menuntut umat Islam di seluruh dunia menilai semula diri dan perlakuan masing-masing.

"Bagi umat Islam, kita perlu ingat bahawa setiap musibah yang menimpa kita itu sebenarnya tanda Allah sayangkan kita, Dia nak kita sentiasa membetulkan kesalahan diri," katanya.

Pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas pada 17 Julai lalu, selepas ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine.

Tiada ulasan: