SINAR HARIAN
LAHAD DATU - Sekumpulan wartawan dan jurugambar menempuh pengalaman
mendebarkan apabila terserempak anggota militan bersenjata ketika
membuat tinjauan di Kampung Tanjung Labian, Felda Sahabat dekat sini
hari ini.
Lebih mencemaskan, lapan wartawan dari pelbagai syarikat media itu
"dipaksa" berlari bersama penduduk yang secara tiba-tiba keluar dari
tempat persembunyian dan bertempiaran meninggalkan kampung itu.
Kejadian pada kira-kira 10 pagi itu melibatkan wartawan dan jurugambar
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), jurugambar The Star, New
Straits Times serta jurukamera dan pemberita Bernama TV dan Al-Hijrah.
Mengimbas kembali, wartawan Bernama Mohd Hisham Abdul Rafar berkata
pada mulanya beliau bersama rakan media mendapati perkampungan yang
dikelilingi ladang kelapa sawit itu lengang dan suram.
Malah, mereka yang tiba dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda dan
Proton Saga juga menggambarkan penempatan itu seolah-olah "kampung
berhantu" kerana rumah-rumah tiada berpenghuni serta tidak berkunci
dengan binatang ternakan berkeliaran.
"Seperti biasa, kami menjalankan tugas mencari berita dan merakam
keadaan kampung. Tiba-tiba sekumpulan penduduk termasuk kanak-kanak
bergegas keluar dari beberapa penjuru kampung, seolah-olah lari dari
sesuatu.
"Terkejut dengan keadaan itu, kami menahan seorang daripada mereka bagi
bertanyakan apa yang berlaku dan dimaklumkan mereka bertindak demikian
setelah mendengar empat das tembakan dilepaskan dari dalam kawasan itu,"
katanya.
Menyedari keadaan tersebut boleh mengancam keselamatan, Mohd Hisham
yang sebelum ini pernah mengikuti misi kemanusiaan ke Pakistan segera
beredar dari lokasi itu bersama rakan media lain.
Jurufoto The Star, Normimie Diun, 38, berkata situasi bertambah genting
apabila beliau yang ketika itu telah berada di dalam kenderaan terlihat
sosok seorang lelaki berpakaian serba hitam yang memegang senjata
berdiri berhampiran sebatang pohon kelapa sawit, kira-kira enam meter
dari kedudukan mereka.
Cemas dengan keadaan itu, beliau dan rakan-rakan terus menundukkan kepala dan pemandu terus memecut meninggalkan kawasan itu.
Dalam pada itu katanya, beliau masih sempat menjerit mengingatkan
rakan-rakan supaya tidak merakamkan gambar kerana khuatir lelaki itu
bertindak ganas.
"Saya sempat menjenguk keluar dan terlihat lelaki itu terus duduk dan
berselindung di sebalik pokok berkenaan. Saya masih terperanjat, namun
bersyukur penceroboh itu tidak melepaskan tembakan," katanya.
Normimie berkata dalam perjalanan pulang mereka kemudiannya berselisih
dengan beberapa kenderaan polis yang menuju ke kampung tersebut.
Kesemua kumpulan wartawan itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan
tiba dengan selamat di Felda Sahabat 16, kira-kira 130 kilometer dari
pekan Lahad Datu.
Pasukan keselamatan melancarkan Op Daulat di kawasan sekitar Lahad Datu
berikutan insiden pencerobohan oleh kumpulan militan bersenjata dari
Selatan Filipina yang berlarutan sejak 12 Februari lepas. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan