[DIKEMAS KINI] ALOR GAJAH - Adun Lendu, Datuk Idderis Kassim, 66, meninggal dunia akibat barah usus di Hospital Putra di sini, petang tadi.
Idderis yang juga Timbalan Speaker Dun Negeri Melaka disahkan meninggal
dunia pada jam 6.50 petang dengan semua ahli keluarga berada di sisi
beliau.
Menurut anak sulung Allahyarham, Zamran, arwah yang menghidap barah
sejak tahun 2011 dimasukkan ke hospital pada 19 Februari lalu selepas
keadaan kesihatannya merosot.
“Tekanan darah mulai rendah kira-kira jam 4.30 petang dan pada jam 6.40
kami melihat dia tidak lagi bernafas sebelum memaklumkan doktor lalu
mengesahkan arwah sudah meninggal dunia pada jam 6.50 petang.
“Arwah meninggal dengan mudah dan kami tidak jangka. Semua ahli keluarga ada termasuk adik-beradik arwah,” katanya.
Sementara itu anak ketiga Allahyarham, Zulkarnain berkata, kali terakhir dia bertemu arwah kira-kira jam 3.30 petang tadi.
“Sebelum pulang, saya minta izin arwah untuk mengadakan bacaan Yasin
untuknya yang dirancang selepas solat Isyak dan ayah memberi isyarat
setuju dengan kerlipan mata,” katanya kepada Sinar Harian.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Rohani Yunus, 60, serta dua anak, Zamran, 38, dan Zulkarnain, 35, dan empat cucu.
Turut mengiringi jenazah Allahyarham ke rumahnya di Kampung Ayer Limau
ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam serta pemimpin kenamaan
lain.
Allahyarham telah melibatkan diri dengan politik sejak 1970-an dengan
memegang pelbagai jawatan di peringkat cawangan, bahagian dan negeri.
Beliau yang juga seorang penceramah aktif berdakwah di surau dan masjid
sekitar Melaka akan dikebumikan jam 11 pagi esok di Ayer Limau, Masjid
Tanah.
Pada pilihan raya umum ke-12 8 Mac 2008, Allahyarham Idderis yang
mewakili Barisan Nasional menewaskan calon Pas, Mohd Amir Yaakub dengan
majoriti 1,633 undi.
Sementara itu, Mohd Ali melahirkan rasa dukacita dan menyifatkan
pemergian Idderis menghadap Ilahi sebagai satu kehilangan besar kepada
kerajaan negeri dan rakyat Melaka.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata, Allahyarham cukup komited dan
berdedikasi ketika hayatnya dalam menjalankan tugas sebagai Adun dan
Timbalan
Speaker.
Speaker.
"Allahyarham amat disenangi rakyat di kawasannya, marilah kita
sama-sama berdoa agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan
orang beriman,"
katanya dipetik Bernama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan