SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Mereka tidak dapat hadir pada perbarisan Hari Polis
esok, tetapi semangat juang lapan anggota polis yang gugur di medan
pertempuran dengan pengganas militan di Sabah tetap menyala di kalangan
rakan seperjuangan mereka.
Malah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerbangkan khas 93 anggota
barisan hadapan yang terlibat secara langsung dalam Operasi Daulat untuk
menyertai perbarisan Hari Polis Ke-206 di Pusat Latihan Polis (Pulapol)
esok.
Kumpulan yang terdiri daripada 50 anggota dan 13 pegawai Komando VAT69
dan Jabatan Siasatan Jenayah itu dijangka menyertai perbarisan dengan
mengenakan pakaian seragam lengkap semasa operasi di Lahad Datu dan
Semporna, Sabah.
Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam) ACP
Ramli Mohamed Yoosuf berkata kumpulan itu adalah pasukan barisan hadapan
yang terlibat secara langsung dalam pertempuran di Kampung Tanduo,
Lahad Datu pada 1 Mac dan serangan hendap di Kampung Simunul, Semporna
sehari selepas itu.
Pertempuran antara pasukan keselamatan dan militan dari selatan
Filipina yang menceroboh Sabah sejak 12 Feb lepas, di Kampung Tanduo
mengorbankan dua anggota keselamatan manakala enam anggota polis gugur
dalam serangan hendap di perkampungan air di Semporna.
Mereka yang terkorban di Kampung Tanduo ialah ASP Zulkifli Mamat, 29,
dan Sjn Sabarudin Daud, 46, manakala anggota yang gugur di Semporna
ialah ACP Ibrahim Lebar, 52, dan Kpl Mohd Azrul Tukiran, 27, DSP Michael
Padel, 36, Sjn Mejar Baharin Hamid, 49, Sjn Mejar Abdul Aziz Sakirun,
48, dan Sjn Salam Togiran, 42.
Ramli berkata pada majlis itu tujuh balu dan seorang waris anggota yang
terkorban akan mengambil kenaikan pangkat pegawai dan anggota
berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dalam wawancara
khas sempena hari polis berkata pasukan keselamatan menunjukkan
kesungguhan, komitmen dan kepahlawanan yang tinggi dalam menangani
krisis pencerobohan di Sabah.
"Saya sendiri yang berada di barisan hadapan lebih kurang dua minggu
dapat melihat berapa beraninya semangat yang ditunjukkan pasukan
keselamatan kita demi rakyat di Sabah," katanya.
Sambutan Hari Polis, yang bertemakan 'Komuniti Sejahtera Komitmen Kami'
itu antara lain, akan mengetengahkan revolusi kepolisian negara sejak
zaman Kesultanan Melayu hingga kepada usaha pasukan keselamatan itu ke
arah perkhidmatan masyarakat bertaraf dunia.
Tiga era perkhidmatan PDRM itu ialah dari zaman Kesultanan Melayu
sehingga negara mencapai kemerdekaan; pasukan polis di zaman pasca
merdeka sehingga era komunis; dan menuju era kepolisian bertaraf
antarabangsa.
Konsep ketiga-tiga era itu akan dipersembahkan dalam perbarisan Hari
Polis, merangkumi kelengkapan dan pakaian polis. Turut dipersembahkan
pada perbarisan itu ialah pertunjukan pantomin yang akan dipersembahkan
mengikut era kepolisian masing-masing.
Pada sambutan kali ini buat pertama kalinya, pasukan polis akan
mempersembahkan lagu tema perbarisan sempena sambutan Hari Polis. -
Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan