KEADILAN DAILY
Sejak tempoh beberapa bulan menghampiri pilihan raya umum ke-13, Bersih 2.0 berasa cemas apabila menyaksikan peningkatan mendadak insiden-insiden yang berkaitan dengan keganasan dalam berpolitik.Keganasan-keganasan ini termasuklah dari gangguan di majlis-majlis ceramah sehingga ke serangan fizikal yang dilakukan oleh individu-individu yang mempunyai kaitan dengan parti-parti politik.
Jelas, kejadian-kejadian ini tidak lagi boleh dianggap sebagai kejadian terpencil sebaliknya adalah sebahagian daripada trend yang lebih besar dimana keganasan telah dijadikan senjata politik yang utama.
Sejak dari Januari 2013, berikut adalah beberapa insiden keganasan yang pernah dilaporkan melalui media:
Pada 4 Februari di Hulu Selangor, Selangor, sekumpulan individu yang didakwa sebagai ahli Perkasa dan penyokong Umno telah mengganggu sebuah majlis ceramah yang diadakan oleh Persatuan Anak Peneroka Felda (Anak). Kumpulan tersebut telah melakukan serangan fizikal ke atas beberapa ahli Unit Amal PAS dan mengadakan sekatan jalan untuk menghalang orang ramai dari mengunjungi ceramah yang diadakan.
Pada 12 Februari di Pekan, Pahang, 16 orang individu telah melakukan serangan fizikal ke atas ahli-ahli Gerakan Mahasiswa PRU13 (GM13) yang sedang mengedarkan risalah kepada orang awam. Pengerusi GM13, Syis Abdul Kadir mendakwa bahawa sebahagian dari penyerang terbabit telah dilihat keluar dari Bangunan Pejabat UMNO Pekan sebelum kejadian tersebut berlaku.
Pada 20 Februari di Semberong, Johor, beberapa individu yang didakwa sebagai ahli Umno telah mengganggu sebuah ceramah yang melibatkan Anwar Ibrahim di pejabat PKR di situ dengan membaling batu, kayu, dan mercun. Mereka turut menyerang kenderaan beliau, mencerca dengan bahasa kesat, serta mengganggu ucapan beliau dengan bunyi bising dari hon dan enjin motosikal.
Pada 26 Februari di Gambang, Pahang, sekumpulan individu yang didakwa sebagai penyokong Umno telah mengganggu sebuah majlis ceramah Pakatan di Felda Lepar Hilir 1 dan membuat cubaan serangan fizikal ke atas Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar. Mereka turut menggunakan bahasa kesat ke atas beliau.
Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mendakwa bahawa pemimpin PKR tempatan telah menerima ugutan melalui SMS sebelum kejadian tersebut.
Pada 3 Mac di Teluk Intan, Perak, sekumpulan individu telah menyerang sebuah majlis ceramah oleh YB M Manogaran dengan menggunakan bahasa kesat ke atas beliau dan akhirnya memaksa beliau untuk keluar dari majlis tersebut dengan diiringi pegawai polis.
Pada 7 Mac di Bukit Katil, Melaka, sekumpulan individu yang didakwa sebagai penyokong Umno telah menyerang bas ‘Jelajah Merdeka Rakyat’ dalam sebuah program ceramah di sana dengan membaling batu dan objek-objek lain yang telah menyebabkan kecederaan kepada dua orang anggota polis, beberapa orang awam, dan kerosakan serius ke atas bas tersebut.
Pada 15 Mac di Pulau Pinang, beberapa individu yang didakwa sebagai ahli kepada beberapa pertubuhan pelampau kanan telah menyerang kenderaan yang dinaiki Naib Presiden PKR, Tian Chua. Mereka bertindak menendang dan menumbuk kenderaan tersebut, serta membaling topi keledar dan botol air ke arahnya. Mereka turut mengancam dan menakut-nakutkan orang awam yang hadir di majlis yang melibatkan Tian Chua tersebut.
Pada 16 Mac di Pulau Pinang, individu tidak dikenali telah membaling batu ke arah Ibu Pejabat Parti Gerakan Pulau Pinang yang menyebabkan kerosakan ke atas bangunan tersebut.
Pada 17 Mac di Penanti, Pulau Pinang, sekumpulan individu yang didakwa sebagai penyokong PKR dan penduduk kampung tersebut telah membaling telur ke arah pengunjung ceramah pro-Barisan Nasional yang diadakan di sebuah sekolah awam dan turut menggunakan bahasa kesat ke arah pengunjung majlis tersebut.
Menggunakan keganasan sebagai alat politik adalah sebahagian dari amalan politik kotor. Bersih 2.0 kesal dengan sikap pemimpin politik yang membiarkan keganasan ini dengan memberi alasan untuk melindungi penyerang atau sengaja mendiamkan diri. Kami mengingatkan semua pihak bahawa keganasan politik adalah pencabulan hak buat bukan sahaja calon yang bakal bertanding, sebaliknya juga bakal-bakal pengundi.
Keganasan politik sebegini boleh menjejaskan pengundi dari membuat pilihan yang bebas dan adil. Jika tidak dibendung, ia dikhuatiri akan sebati dan diterima sebagai amalan biasa dalam politik arus perdana yang akhirnya merosakkan proses demokrasi dalam negara ini.
Berhadapan dengan situasi insiden-insiden keganasan politik yang semakin meningkat ini, Bersih 2.0 akan melancarkan kempen ‘Tolak Keganasan Politik’ yang disasarkan ke arah calon-calon pilihan raya, parti-parti politik, dan masyarakat awam.
Dalam minggu yang akan datang, kami akan melancarkan tatacara kelakuan untuk calon-calon yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya ke-13.
Tatacara kelakuan ini digariskan berdasarkan piawai antarabangsa yang diterima pakai termasuk oleh Inter-Parliamentary Union yang turut dianggotai oleh Malaysia sejak 1967.
Kami menggesa kesemua calon dan pemimpin parti-parti politik untuk menunjukkan komitmen mereka terhadap pilihan raya yang bersih dan adil dengan mengecam keganasan politik secara terbuka dan menyatakan sokongan kepada tatacara kelakuan yang akan dilancarkan nanti.
Dan yang paling utama, Bersih 2.0 juga menggesa rakyat Malaysia untuk menunjukkan bantahan ke atas keganasan politik dengan menolak ahli-ahli politik yang melindungi pelakuan ganas atau berdiam diri mengenainya.
Kami juga menggalakkan rakyat Malaysia untuk menulis surat kepada bakal-bakal calon yang akan bertanding di kawasan masing-masing supaya menyokong tatacara kelakuan yang akan dilancarkan.
Pilihan raya tanpa keganasan adalah hak anda.
Terima kasih
Salam BERSIH!
Jawatankuasa Pemandu Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0)
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0 terdiri daripada:
Dato’ Ambiga Sreenevasan (Pengerusi Bersama), Datuk A. Samad Said (Pengerusi Bersama), Ahmad Shukri Abdul Razab, Andrew Ambrose, Andrew Khoo, Anne Lasimbang, Arul Prakkash, Arumugam K., Awang Abdillah, Dr Farouk Musa, Liau Kok Fah, Maria Chin Abdullah, Matthew Vincent, Niloh Ason, Richard Y W Yeoh, Dr Subramaniam Pillay, Dato’ Dr Toh Kin Woon, Dr Wong Chin Huat, Dato’ Yeo Yang Poh dan Zaid Kamaruddin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan