Jumaat, 14 September 2012

Wisma, 2 premis DAP lagi ‘disimbah’ cat

SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI

Wisma, 2 premis DAP lagi ‘disimbah’ cat
Pasukan forensik menjalankan siasatan di pusat khidmat DAP Pulau Tikus.
 
Wisma, 2 premis DAP lagi ‘disimbah’ cat
Guan Eng melawat Wisma DAP yang disimbah cat awal pagi tadi.
 
GEORGETOWN - Tiga pusat khidmat wakil rakyat DAP termasuk Wisma DAP yang terletak di Jalan Rangoon di sini disimbah cat merah awal pagi tadi.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, kejadian yang berlaku antara jam 1 hingga 4 pagi itu melibatkan tiga pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri(Adun) iaitu Pulau Tikus,Datuk Keramat dan Air Putih.

"Saya terkejut dengan apa yang berlaku setelah diberitahu awal pagi ini. Ia satu tindakan tidak wajar dan seperti mahu mencipta sejarah kerana melibatkan tiga pusat khidmat Adun dan Wisma DAP serentak.

“Saya percaya, ini perbuatan yang  dirancang oleh pihak tertentu. Saya kesal dengan kejadian ini. DAP mengambil serius dengan apa yang berlaku,” katanya kepada media ketika melawat Wisma DAP di sini, hari ini.

Menurutnya, kejadian itu juga dilihat sebagai percubaan untuk menjatuhkan Kerajaan Negeri dan DAP di Pulau Pinang.

“Ini percubaan untuk menakut-nakutkan Kerajaan Negeri dan DAP.

“Saya akui,ini adalah ancaman kepada Kerajaan Negeri dan DAP namun saya minta semua penyokong Pakatan Rakyat (PR) supaya bersabar dan tenang. Jangan ambil tindakan terburu-buru. Biar polis siasat kejadian ini.

“DAP dan Kerajaan Negeri tidak akan patah semangat malah azam kita tidak pernah luntur. Kita akan tetap terus menjalankan tanggungjawab sebagai kerajaan berjiwa rakyat serta melancarkan dasar-dasar yang memberi faedah kepada rakyat,” katanya.

Menjawab soalan mengenai pihak yang disyaki yang menjadi dalang di sebalik kejadian itu,Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, enggan mengulas dan menyerahkannya kepada polis untuk menjalankan siasatan.

“Saya tidak mahu syak atau tuduh siapa-siapa. Kita serah kepada polis dan biar mereka siasat. Saya harap,polis dapat menahan pihak yang terlibat.

“Kita tidak tahu,sama ada esok akan berlaku lagi insiden seperti ini.Mungkin selepas ini akan ada lagi pusat khidmat mana-mana Adun yang terkena insiden sama,” katanya.

Diminta mengulas motif perbuatan itu, Guan Eng berkata,pihaknya tidak tahu apa motif sebenar namun percaya ia adalah perbuatan khianat.

“Memandang kes terdahulu yang melibatkan pejabat DAP dan pusat khidmat seorang Adun DAP masih belum menerima sebarang keputusan siasatan dari polis, mungkin ini yang menyebabkan pihak itu semakin berani,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi DAP negeri,Chow KonYeow mengutuk  dan menyifatkan perbuatan itu bertujuan mengugut DAP.

“Ini perbuatan untuk ugut DAP dan wakil rakyat yang terlibat. Ia menunjukkan niat tidak baik mereka melalui keganasan terhadap parti ini. Kita percaya,insiden ini mempunyai niat tersembunyi kerana yang terlibat empat lokasi, bukannya satu.

“Perbuatan ini juga adalah satu gejala politik tidak sihat sebab menggunakan keganasan bagi mencapai sesuatu.Kita lihat,semakin lama dibiarkan, perbuatan ini semakin menjadi-jadi," katanya.

Beliau berharap polis dapat menangani kes ini dengan segera dan sudah menyerahkan rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV)  dari Wisma DAP dan pusat khidmat Pulau Tikus.

Tiada ulasan: