Ahad, 2 September 2012

Selangor nafi belakangkan Sultan, amalan biasa tidak jemput hadiri ambang Merdeka




KUALA LUMPUR—  Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor hari ini menafikan mereka sengaja membelakangi sultan kerana tidak menjemput baginda dalam majlis sambutan ambang Kemerdekaan ke-55 di Dataran Shah Alam pada malam Khamis lalu.

Sebaliknya, kerajaan negeri itu menjelaskan adalah sudah menjadi tradisi dan amalan negeri berkenaan tidak menjemput Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menghadiri majlis sambutan ambang Kemerdekaan negeri.

Menurut Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin (gambar), amalan berkenaan bukan baru dilaksanakan ketika pemerintahan PR, tetapi turut dipraktikkan sejak zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) di negeri terkaya itu sebelum tewas dalam pilihan raya umum 2008 kepada PR.

"Memang menjadi tradisi sejak empat tahun lepas Tuanku Sultan tidak dijemput dan hadir untuk program sambutan ambang Kemerdekaan.

"Baginda hanya dijemput berangkat ke majlis Yasin dan Tahlil di masjid negeri, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Jelas Faekah, beliau yakin Seketariat Sambutan Ambang Kemerdekaan yang dipengerusikan Datuk Khusrin Munawi selaku Ketua Setiausaha Negeri (SUK) telah meneliti senarai jemputan dan protokol sambutan berkenaan sebelum program itu dilaksanakan.

"Kita percaya Datuk Khusrin telah melihat senarai protokol yang dijemput tahun-tahun lepas termasuk sambutan ketika zaman pemerintahan BN.

"Tapi sekiranya pada tahun ini baginda berniat untuk mencemar duli turun ke sambutan ambang merdeka, Setiausaha Sulit baginda Datuk Mohamad Munir Bani perlu memaklumkan kepada kami, tapi tiada sebarang makluman berkenaan perkara itu daripada beliau," jelas Faekah lagi.

Malah, beliau turut meluahkan rasa kesal terhadap kenyataan Munir di media yang menunjukkan seolah-olah kerajaan PR Selangor cuba membelakangkan sultan.

"Datuk Khusrin sendiri telah beri jaminan Datuk Munir akan memberi penjelasan, tapi saya tidak faham kenapa kenyataannya dalam media amat berlainan.

"Bila berkaitan dengan sultan dan istana, kerajaan negeri amat berhati-hati," katanya kepada The Malaysian Insider.

Malah, melalui khidmat pesanan ringkas Khusrin kepada Faekah, beliau berkata maklum berkenaan perkara itu yang menjadi isu dan akan menuntut Munir untuk memberi penjelasan semula.

"Saya maklum. Utusan sengaja nak buat isu. Selama ini memang Tuanku tak pernah dijemput dalam program  malam kemerdekaan kecuali majlis baca yasin . Saya minta Dato munir untuk beri penjelasan semula," kata khidmat pesanan ringkas tersebut yang dihantar Khusrin kepada Faekah.

Awal hari ini, memetik laporan Sinar Harian, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, mempesoalkan tindakan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor menjemput Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tetamu kehormat sewaktu Sambutan Kemerdekaan ke-55 peringkat negeri malam Khamis lalu.

Munir berkata tindakan oleh PR Selangor itu menimbulkan tanda tanya kerana Anwar tidak menjawat sebarang kedudukan tertinggi di peringkat negeri, sebaliknya hanya bertindak selaku Penasihat Ekonomi negeri.

"Tuanku Sultan melahirkan rasa pelik mengapa Anwar yang tidak berada dalam jawatan tertinggi negeri menjadi tetamu kehormat. Beliau tidak memegang sebarang portfolio rasmi kecuali sebagai Penasihat Ekonomi.

"Kebiasaannya kalau Tuanku tidak dapat hadir dalam program rasmi negeri, Menteri Besar akan menggantikan baginda untuk memberi ucapan," katanya dan menambah, "tetapi mengapa Anwar yang dijemput, ini program rasmi, bukan politik."

Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam turut menegaskan, tindakan kerajaan PR Selangor itu yang tidak menjemput Sultan ketika sambutan ambang Kemerdekaan di Dataran Shah Alam  bukanlah satu tindakan yang mengejutkan.

Sebaliknya, beliau berkata kerajaan negeri itu juga lebih menghormati Anwar yang tidak mempunyai "locus standi" berbanding Sultan Selangor.

"Soal tidak hormat Sultan Selangor bukan mengejutkan kita ... mereka lebih hormat penasihat ekonomi yang tidak ada locus standi," tegas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu ketika Majlis Rumah Terbuka BN Selangor semalam.

Faekah turut berkata, pihaknya yakin Sultan Selangor akan melihat perkara itu dengan teliti dan dalam ruang lingkup yang lebih luas.

"Saya percaya tuanku akan melihat ini dengan lebih luas.

"Tiada siapa mahu ketepikan Sultan, apa lagi kalau baginda sendiri berniat ingin mencemar duli turut hadir malam ambang merdeka," katanya dan menambah "tetapi jika benar begitu, hasrat itu bagaimanapun tidak sampai kepada kita."

"Jika ianya dimaklumkan, saya yakin sambutan ambang kemerdekaan pada malam itu  akan menjadi lebih meriah dengan kehadiran baginda," katanya lagi.

Tiada ulasan: