Ahad, 16 September 2012

Pengusaha Burung Walet Berhimpun Secara Aman Di Pejabat Umno Tanjong Karang




TANJONG KARANG : Kira-kira 300 penyokong Pakatan Rakyat dan pengusaha sarang burung walet mengadakan perhimpunan aman bagi membantah sekatan terhadap industri itu yang didakwa mengakibatkan kerugian kira-kira RM 5 bilion.

Keadaan aman perhimpunan itu yang dibuat di pejabat bahagian Umno Tanjong Karang, membuktikan bahawa Pakatan menunjukkan semangat demokrasi yang sebenar di dalam penganjuran himpunan bantahan suara.

Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin yang berada di situ berkata ini berbeza dengan tindakan segelintir penyokong Umno-BN yang sebelum ini membuat kacau di program Pakatan.

Himpunan itu diketuai Adun Sekinchan, Ng Suee Lim, Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat DUN Permatang, Yahya Shahri dan Pengerusi Gabungan Persatuan-Persatuan Sarang Burung Walet SeMalaysia, Lim Lai Soon.

Lim mendesak pihak kerajaan pusat menghentikan monopoli ekspot burung walet ke China yang didakwa dikuasai oleh sebuah persatuan lain yang bersekongkol dengan pegawai-pegawai tertentu.

“Kami tidak bersetuju dengan perwakilan gabungan itu kerana hanya mewakili segelintir peniaga sarang burung walet,” kata Lim semasa menyerahkan memorandum kepada Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Memorandum itu dibacakan dihadapan Noh yang pada masa sama mengadakan Majlis Aidilfitri di tapak tersebut.

Noh berkata beliau akan mengambil tanggungjawab bagi menyelesaikan masalah yang diutarakan.

 

Perhimpunan aman itu dijalankan dalam suasana terkawal dengan pemerhatian kira-kira 50 anggota polis yang diketuai oleh OCPD Daerah Kuala Selangor, Taib Mahmud.

Kedua-dua pihak kemudianya beredar dengan baik dan mengadakan sidang media di kawasan berbeza.

Perhimpunan berakhir pada jam 12.30 tengahari dan para peserta bersurai aman tanpa kejadian yang tidak dingini.

Bercakap kepada pemberita selepas perhimpunan itu, Badrul Hisham berkata, acara ini menunjukkan sekali lagi yang himpunan suara rakyat sebenarnya boleh dilakukan dalam keadaan yang saling menghormati tanpa provokasi.

“Hari ini kita menunjukkan kita menjadi masyarakat bertamadun. Kita tidak datang pejabat orang dengan menyerang dan membaling cat merah ke bas dan tiada maki hamun.

“Kita beri mereka berucap berjam-jam kerana itu adalah rumah mereka dan kita hormat,” katanya.

Tiada ulasan: