KUALA LUMPUR: Pengerusi kumpulan Pro-Mahasiswa (Pro-M) Universiti Malaya, Edipkoup Lakip Sediyanto menjadi mangsa terbaru budaya politik samseng di dalam universiti apabila beliau dipukul kira-kira jam 4.00 pagi hari ini.
Edipkoup dipukul oleh lima lelaki yang menaiki sebuah kereta Kancil ketika beliau dalam perjalanan pulang dari Universiti Malaya ke kediamannya di seksyen 17.
Akibat dari kejadian tersebut, Adikoup terpaksa menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya dan hanya dibenarkan keluar kira-kira tengahari tadi.
Perkara tersebut didedahkan Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Mohd Safwan Anang dalam sidang media yang diadakan di Lobi Parlimen hari ini.
Mohd Safwan berkata motorsikal yang ditunggang Edikoup dihalang kereta terlibat sebelum beliau diheret ke kawasan gelap.
“Mangsa dihayun dengan topi keledar sehingga terjatuh dari motorsikal.
“Kemudian dia dihentak pula di bahagian kepala, perut, badan dan lain-lain dengan topi keledar dan tidak cukup dia ditumbuk dan diterajang juga,” kata Safwan.
Dalam isu sama, satu entri bertajuk ‘Gempar! Video Pengerusi Pro-M, UM Dipukul Kejam, Kini Di ICU’ dalam blog ‘Satu Peluru’ dan ‘Malaysia Bangkit’ menimbulkan kecurigaan.
Mohd Safwan mendakwa pengendali blog itu seolah-olah mengetahui kejadian tersebut sebelum ianya berlaku.
Pengedali blog ‘Malaysia Bangkit’ dalam paparan blognya mendakwa bahawa Edikoup berpura-pura dipukul bagi meraih simpati para mahasiswa dalam kempen Pilihan Raya Kampus yang sedang rancak dijalankan.
Rentetan kejadian itu, dua laporan polis dibuat di Balai Polis Damansara terhadap kejadian Edikoup dipukul dan entri yang di buat oleh blogger Satu Peluru dan Malaysia Bangkit.
Dalam sidang akhbar sama, Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria pula berkata, kejadian tersebut amat membimbangkan kerana dikhuatiri merebak dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.
Selain, Safwan dan Mohd Nasir, turut sama dalam sidang media tersebut adalah pimpinan Legasi Mahasiswa Progressif (LMP), Adam Adli Halim dan Presiden Mahasiswa Islam UM, Syis Abd Kadir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan