SHAH ALAM : Peneroka Felda yang memiliki Saham Felda Global Ventures (FGHV) bakal berhadapan kerugian jika saham FGVH itu jatuh pada harga RM4.70 yang terus menyukarkan kehidupan peneroka apabila sebelum ini dibebani hutang pinjaman bank bagi memiliki saham itu.
Merujuk kepada laman Bursa Malaysia setakat 12.30 tengahari hari ini ,saham FGVH diniagakan harga RM4.78 di bawah harga psikologi pada RM5.00.
Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak),Mazlan Aliman berkata walaupun saham FGVH disenaraikan pada RM4.55 dan naik kepada RM5.33, tetapi dalam tempoh yang begitu singkat saham ini mula menurun.
Kejatuhan saham FGVH dianggap terlalu cepat berbanding saham-saham lain seperti Amanah Saham Bumiputera dan Saham Negeri-negeri yang hanya jatuh dalam tempoh empat sehingga lima bulan.
“Dan kebimbangan kita ialah apa akan berlaku apabila rugi,sebab bila rugi ia akan ditanggung pemegang saham yang sahamnya dibeli dalam bentuk pinjaman yang perlu membayar termasuk kadar faedahnya lima peratus,apakah peneroka-peneroka Felda itu mampu untuk menampung risiko,” kata Mazlan ketika dihubungi.
Jelas Mazlan, pada realitinya masih lagi belum berlaku keadaan setiap peneroka hanya perlu membayar RM50 kepada Felda dalam masa lima tahun seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.
“Beberapa aduan yang saya terima, di mana peneroka merujuk kepada bank dimaklumkan pihak bank tidak mengetahui hal tersebut.
“Apa yang berlaku di peringkat bawah ia tidak begitu, adi ini telah menimbulkan kerungsingan.
“Walaupun pakej bayaran RM50 itu dilaksanakan, bagaimana dengan peneroka yang sudah mula membayar kepada pihak bank,adakah peneroka boleh menuntut balik bayaran daripada pihak Felda Global Ventures?” soal Mazlan.
Pihak Anak akan menulis surat kepada pihak Yang Dipertuan Agong untuk mendapatkan maklum balas berkenaan memorandum yang dihantar oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik semasa Himpunan Oren pada 14 Julai lepas.
“Kita mahu mengetahui sejauhmana pendirian Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu dalam hal ini.
“Dan kita yakin pihak Raja-Raja Melayu prihatin dan bimbang dengan perkembangan yang berlaku di Felda,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan