Mereka mendakwa penggambaran berskala besar itu mengganggu privasi, menyesakkan kawasan, berunsur politik dan tidak memberikan gambaran sebenar masalah berkaitan air.
"Saya amat yakin ini adalah konspirasi. Bila kami tanya penggambaran ini mengenai apa, mereka tidak beritahu.
"Tetapi mereka meminta penduduk dan mungkin pelakon tambahan, dengan bayaran RM50 mengangkat tong air.
"Ini seperti nak tunjuk yang kita tak ada air," kata penduduk setempat Dr S Paramananthan (atas) kepada pemberita.
Paramananthan juga mendakwa, penggambaran itu mungkin bertujuan memburukkan kerajaan negeri memandangkan tiada sebarang maklumat terperinci diberikan kepada persatuan penduduk.
Penggambaran itu hari ini dijalankan secara 'rahsia' di kawasan itu dalam keadaan penduduknya, termasuk beberapa pelakon tambahan memberitahu tidak jelas rancangan sebenarnya.
Pihak produksi pula enggan menjelaskan butiran terperinci rancangan televisyen komersial itu kerana ia didakwa melibatkan kerahsiaan dengan pelanggannya.
'Kami berunding dengan produksi, bukan parti'
Rakaman itu antaranya memuatkan babak orang ramai beratur mendapatkan air daripada lori bekalan air. Mereka juga diminta untuk 'menjerit' dan mengangkat tong air.
Empat lori kontena memuatkan barangan dan persediaan set turut kelihatan.
Sementara itu, seorang penduduk lagi berkata, mereka hanya dimaklumkan penggambaran iklan "khidmat sosial mengenai air" tetapi tidak dimaklumkan ia berskala besar.
"Ini membuat saya risau kerana mengganggu privasi penduduk. Ini jumlah yang besar. Sebagai penduduk juga kami tidak tahu ia berkaitan dengan politik.
"Sebab kami cuma berunding dengan pihak produksi, bukan mana-mana parti politik," kata penduduk yang telah menginap di pangsapuri itu selama 30 tahun dan enggan namanya disiarkan.
Sementara itu, seorang lagi penduduk berkata, mereka telah meminta penggambaran itu dibuat di tempat lain tetapi tidak berkesan, malah tenaga produksinya sampai seawal jam 5 pagi.
"Saya dah kata tempat ini tidak sesuai untuk penggambaran. Tetapi mereka kata mereka mahu lakukan kerana tempat ini sesuai," tambahnya.
Seorang warga emas pula tidak berpuas hati apabila berlaku kesesakan di kawasan tersebut sehingga mengganggu kelancaran kehidupan sehariannya.
"Saya dah tua. Sakit kaki. Saya terpaksa letak kereta saya jauh dan berjalan.
"Mereka ini juga dah membuat bising seawal jam 5 pagi dan ganggu saya nak tidur," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan