Isnin, 24 September 2012

Pemuda Gerakan Minta Parti Utamakan Muka Baru Hadapi PRU13

MSTAR ONLINE
 
KUALA LUMPUR: Pemuda Gerakan meminta parti itu memberi peluang kepada muka baru khususnya dari sayap itu untuk dicalonkan pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Ketua Pemuda Gerakan Datuk Lim Si Pin berkata adalah wajar pemilihan calon-calon itu dibuat dalam kalangan individu berumur 40 tahun ke bawah dan sayap Pemuda pasti calonnya pasti komited jika dipilih.

"Oleh itu, Pemuda berharap calon yang dipilih haruslah mereka yang baru dan kompetitif dalam menyampaikan apa Gerakan perjuangkan untuk masyarakat," katanya pada sidang media di Menara PGRM di sini, Isnin.

Mengenai persidangan perwakilan nasional Gerakan pada 29 hingga 30 Sept depan, Lim berkata antara usul yang akan dibentangkan ialah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dan projek nadir bumi.

"Usul mengenai strategi parti untuk menghadapi pilihan raya umum juga akan dikemukakan," katanya. Lim berkata persidangan itu juga dibuka kepada orang ramai khususnya kepada golongan mahasiswa sebagai pemerhati bagi melihat sendiri perjalanan persidangan tahunan parti politik itu.

Beliau turut meminta kesemua 1,091 anggota perwakilan parti dapat menghadiri persidangan tahunan itu untuk mendengar amanat pemimpin parti.

Persidangan tahunan Gerakan akan diadakan di Menara PGRM dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Barisan Nasional dijadual merasmikannya.-BERNAMA

Tiada ulasan: