Isnin, 3 September 2012

Pejabat SUK patuhi amalan anjur sambutan ambang Merdeka

September 1, 2012
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata ini kerana pejabat SUK mempunyai pengalaman luas dalam mengadakan program seumpama itu pada tahun-tahun sebelum ini.


SHAH ALAM: Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor telah mematuhi segala amalan dan prosedur dalam menganjurkan sambutan malam ambang kemerdekaan di Dataran Kemerdekaan di sini, Khamis lepas.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata ini kerana pejabat SUK mempunyai pengalaman luas dalam mengadakan program seumpama itu pada tahun-tahun sebelum ini dan beliau “tidak berasa sangsi dengan keupayaan pejabat SUK menganjurkan sambutan itu dengan betul dan tertib”.

“Sambutan ini bukanlah daripada penglibatan parti politik semata-mata tetapi ia dilaksanakan pegawai kerajaan menerusi pejabat SUK untuk beberapa tahun sebelum ini termasuk pentadbiran terdahulu,” kata Menteri Besar kepada pemberita selepas melancarkan sebuah pameran kartun di Galeri Shah Alam di sini.

Abdul Khalid mengulas laporan akhbar bahawa kerajaan Selangor pimpinan PKR membelakangkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah apabila tidak menjemput baginda ke majlis sambutan itu.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata satu jawatankuasa khas dianggotai wakil pejabat SUK dan Menteri Besar ditubuhkan setiap kali menjelang sambutan ambang kemerdekaan.

Perkasa buat laporan polis

Beliau berkata pihaknya mengadakan perjumpaan dengan Sultan Selangor setiap hari Rabu sebelum mesyuarat exco untuk memaklumkan mengenai segala program yang diadakan di negeri itu termasuk sambutan ambang kemerdekaan.

Menurut satu sumber yang enggan dikenalpasti, adalah menjadi amalan biasa pejabat SUK untuk menjemput Sultan Selangor hanya untuk berangkat ke Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat sempena sambutan Hari Kemerdekaan, dan bukannya untuk sambutan malam ambang kemerdekaan.

Sementara itu, Yang Dipertua Perkasa Selangor Abu Bakar Yahya meminta polis menyiasat laporan akhbar yang menyatakan kerajaan negeri tidak menjemput Sultan Selangor ke majlis sambutan ambang kemerdekaan.

Beliau berkata sambutan kemerdekaan adalah anjuran rasmi kerajaan negeri untuk rakyat Selangor dan adalah wajar baginda dimaklumkan mengenainya.

“Perkasa Selangor bimbang akan timbul kemarahan rakyat kerana kerajaan negeri Selangor menyisihkan kepentingan Raja-raja Melayu khasnya Tuanku Sultan Selangor dalam sambutan ini.

“Oleh hal demikian, Perkasa bimbang sekiranya ada campur tangan ‘orang luar’ terhadap pentadbiran kerajaan Selangor,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam  .Bernama

Tiada ulasan: