Isnin, 24 September 2012

Pasar malam tutup 20 minit, hormati waktu Maghrib

JANATUL FIRDAUS YAACOB

Barangan jualan ditinggalkan ketika peniaga ke masjid.
Barangan jualan ditinggalkan ketika peniaga ke masjid.
 
Pasar Malam Padang Jawa
7.21 malam: Kemeriahan urusan jual beli Pasar Malam Padang Jawa diteruskan seperti biasa.
 
BERMULA jam enam petang, kebanyakan penjaja dan pelanggan mula memenuhi kiri kanan jalan Pasar Malam Padang Jawa.

Suasana hingar bingar kemeriahan urus niaga tidak jauh beza dengan pasar-pasar malam di lokasi lain.

Namun uniknya di sini, tiupan wisel sejurus azan Maghrib, lampu gerai dan urusan jual beli dihentikan serta merta.

Tiada urus niaga dibenarkan selama 20 minit!  Dalam tempoh itu, peniaga dan pengunjung Islam, ramai-ramai menunaikan solat Maghrib di masjid sementara bagi bukan Islam mengikuti arahan penuh hormat dan bertanggungjawab.  

Pengalaman ini bukan baru, malah inisiatif Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Ahli Jawatankuasa Masjid Kampung Padang Jawa itu dipraktikkan sejak 1 Januari 2010 lalu.

Tinjauan Sinar Harian Jumaat lalu mendapati, peniaga dan pengunjung menyambut baik praktis ini menyokong penuh tindakan tersebut sebagai satu langkah pembaharuan bagi  menghormati waktu solat dan menghormati Islam.

Peniaga perlu tidak bimbang tentang barangan jualan mereka yang ditinggalkan kerana kawasan perniagaan dikawal oleh petugas sukarela terdiri daripada JKKK, Rela dan ahli beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Malah, tinjauan yang dibuat terhadap peniaga bukan Islam, juga amat menggalakkan di mana mereka juga bersetuju dan  menyokong sepenuhnya peraturan ini, bahkan mereka juga gembira apabila perniagaannya bertambah laris selepas perniagaan dibuka semula.

Suasana yang  meriah dan terang benderang tiba-tiba bertukar suram apabila lampu dimatikan dan kelihatan petugas sukarela berlegar di sekitar tapak perniagaan bagi memastikan setiap peniaga mematuhi arahan.

Kelihatan peniaga dan pengunjung bergegas menuju ke masjid manakala bukan Islam mereka memilih untuk berehat di gerai masin-masing dalam keadaan bergelap.

Cetusan idea JKKK

Pengerusi JKKK Kampung Padang Jawa, Saian Asmawi, 61, berkata, idea ini timbul selepas Kerajaan Negeri mengambil alih daripada pentadbiran sebelumnya.

“Ini adalah pembaharuan.  Pasar malam ini telah wujud sejak tahun 1970-an lagi namun, tiada pendekatan yang dilakukan sebelum ini," katanya.

Bercerita mengenai cara pelaksanaannya, Saian berkata, peniaga perlu menutup lampu di ruang niaga, menghalang pelanggan daripada datang membeli barang jualan.

“Maknanya, kalau semua orang pergi sembahyang tidak ada masalah kerana kami ada pengawal, Rela, JKKK untuk menjaga barangan jualan mereka.

“Jadi, kalau ditinggalkan tiada sebarang masalah. Setakat ini, tidak pernah berlaku kecurian kerana kita kawal tempat tersebut.

Walau bagaimanapun, Saian mengakui, pada peringkat awal arahan diperkenalkan, timbul beberapa rungutan daripada peniaga mendakwa kerugian kesan daripada penutupan tersebut.

Katanya, ada juga peniaga bukan Islam yang menjalankan perniagaan di pasar malam ini meluahkan rasa tidak puas hati dan mempersoalkan kewajaran mereka yang tidak bersolat juga terpaksa menutup perniagaan dalam tempoh tersebut.

Katanya, operasi pasar malam adalah di bawah seliaan JKKK dan sekiranya arahan yang dikeluarkan sukar dipatuhi, peniaga terbabit dicadangkan agar berpindah niaga ke lokasi lain.

"Peringkat awal pelaksanaan, bagi ingkar kali pertama kita bagi amaran pertama, amaran kedua sedikit keras manakala untuk amaran ketiga kita terpaksa keluarkan dia dengan menamatkan lesen.

“Kita hanya letakkan papan tanda notis, lampu dimatikan, sejurus azan saja tutup, kita tiup wisel, penjaga dia akan tutup kiri kanan jalan dan mana- mana gerai tidak tutup kita beri amaran. Niat utama kita ialah menghormati waktu Maghrib yang pendek, sebelum ini waktu Maghrib kelihatan orang ramai riuh dan berpelesiran dan tidak menghormati waktu solat,” katanya.

Berdasarkan rekod, terdapat 200 tapak gerai jualan dengan keluasan 500 meter di kiri kanan jalan dengan bayaran RM3 untuk satu tapak.

Peniaga sambut baik

Bagi seorang peniaga ubatan herba, Kiran Amir, 58, berkata, praktis ini sangat bagus dalam usaha mentarbiahkan umat Islam dan mencadangkan agar semua pasar malam di Malaysia mengamalkan pendekatan sama.

Tiada ulasan: