Ahad, 23 September 2012

Pas sudah jangka PRU13 tangguh

Wartawan Sinar Harian
Abdul Hadi Awang
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
 
POKOK SENA - Pas sudah menjangkakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan ditangguh lagi, kemungkinan sehingga akhir tahun atau tahun depan.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, berikutan itu, Pas sudah menetapkan tarikh untuk mengadakan Muktamar Agung Pas pada 24 November ini.

“Kita sudah tetapkan tarikh lebih awal untuk adakan muktamar. Bermakna kita lebih berani berbanding Barisan Nasional (BN) untuk pilih November sebagai persidangan,” katanya, pada sidang media, selepas majlis Konvokesyen ke-11 Kolej Islam Darul Ulum (Kidu), semalam.

Hadir sama, Menteri Besar yang juga Pengerusi Majlis Muassasah Darul Ulum, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Abdul Hadi berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan, Persidangan Agung Umno akan diadakan pada 27 November hingga 1 Disember, dan kemungkinan PRU-13 akan dilaksanakan tahun depan.

Sementara itu,  calon PRU13 dari kalangan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) akan diputuskan selepas perbincangan dibuat antara Pas-PKR-DAP.

Abdul Hadi berkata, kerusi yang bakal ditawarkan kepada calon DHPP hanya melibatkan kawasan majoriti bukan Islam.

Mengulas kenyataan Penolong Setiausaha Organisasi DAP Pusat, Thomas Su, bahawa Pas berhak memilih calon DHPP asalkan ia hanya melibatkan kerusi kuota Pas, bukannya kerusi yang berlaku pertindihan antara DAP-PKR, Abdul Hadi yakin wujud persefahaman tiga parti dalam perkara itu.

Ditanya sama ada setiap negeri akan meletakkan seorang calon DHPP, Abdul Hadi berkata, perkara itu belum diputuskan.

Tiada ulasan: