Ahad, 2 September 2012

MB: Serangan Bas Perbuatan Tidak Demokratik





BISTARI JAYA : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan perbuatan samseng ke atas serangan bas Merdeka Rakyat di Kota Bahru, Kelantan semalam, tidak menggambarkan negara demokrasi.

Dengan nada sinis, Abdul Khalid berkata sekiranya pihak yang terlibat mahu mengikut inisiatif dari PKR itu, lakukan sahaja bukannya dengan cara mensabotaj seperti itu.

“Kalau mahu ikut cara itu ikutlah. Boleh buat cara yang sama, guna bas juga.

“Kalau mahu marah, marah sendiri bukan marah orang lain. Cara samseng ini tidak menggambarkan negara demokrasi,” katanya dalam ucapan di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2012 DUN Ijok, di sini.

Hadir sama Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Zulkefly Ahmad.

Beliau berkata bas bergerak itu akan tetap meneruskan program Jelajah Merdeka Rakyat walaupun berhadapan dengan kekangan seperti kejadian itu.

Semalam, kira-kira jam 4.30 pagi, bas Merdeka Rakyat yang memulakan perjalanan di sebelah pantai timur dicemari dengan insiden buruk apabila ia diserang di Kota Bharu.

Memetik laporan portal rasmi PKR, keadilandaily.com akibat serangan itu cermin depan retak dan simbahan cat merah di bahagian depan bas dua tingkat yang digunakan untuk program jelajah Merdeka Rakyat.

Kejadian berlaku ketika bas berkenaan diparkir di depan pasar besar Siti Khadijah, Kota Bharu.

Bas berkenaan sebelum ini dinaiki Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Tiada ulasan: