SHAH ALAM : Laporan audit kewangan Universiti Selangor (Unisel) yang didakwa mengalami kerugian selepas cukai kira-kira RM54.8 juta bagi tempoh 2008 hingga 2010 adalah laporan audit yang belum diselaraskan lagi.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata laporan audit kewangan terbabit akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) akan datang.
Katanya, ia sepatutnya diselaraskan pada Jun lalu, bagaimanapun oleh kerana terdapat akaun yang tidak dapat diselaraskan maka ia perlu mengambil masa.
“Kita lihat akaun Unisel, ia mengalami kos yang tinggi sebab pembiayaan untuk pembinaan itu dibiayai oleh syarikat yang memiliki Unisel.
“Oleh itu, saya menyusun semula syarikat yang memiliki operasi Unisel supaya aset-aset seperti bangunan asrama dan harta yang dimilki Unisel yang masih berhutang di bank.
“Kita juga dalam proses untuk mengambil alih aset-aset itu, jika aset-aset itu diambil alih maka beban kos akan berkurangan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan penjawat awam di SUK, pagi tadi.
Jelasnya, Kerajaan Negeri tidak gentar dengan pendedahan yang dibuat oleh Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berhubung isu itu.
“Akaun itu belum diluluskan, kita lihat dari kajian ia tidak tinggi dan tidak rendah. Jadi kalau Noh mahu dedahkan akaun itu, kita tidak takut sebab Kerajaan Negeri mengamalkan ketelusan, boleh jadi Noh tidak faham mengenai kos itu,” katanya.
Semalam, Noh mendedahkan laporan audit kewangan Unisel yang menunjukkan universiti itu mengalami kerugian selepas cukai kira-kira RM54.8 juta bagi tempoh tiga tahun sejak Pakatan Rakyat (PR) memerintah Selangor pada 2008.
Katanya, berdasarkan salinan Laporan Audit Unisel bagi 2009-2010, universiti yang ditadbir Kerajaan Negeri Selangor itu menunjukkan kerugian selepas cukai sebanyak RM1.63 juta pada 2008, RM 13.55 juta (2009) dan RM39.68 juta pada 2010.
Noh berkata laporan audit 2009 dan 2010 itu ditandatangani sendiri Abdul Khalid pada Ogos 2011.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan