Selasa, 11 September 2012

MB: Kompaktor Sampah Tepati Spesifikasi




SHAH ALAM  : Kerajaan Negeri menafikan dakwaan isu pembelian kompaktor sampah yang dikatakan tidak menepati spesifikasi sepatutnya.

Sebaliknya menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata setiap keputusan yang dibuat Kerajaan Negeri sentiasa dinilai.

“Saya difahamkan setiap aset yang dibeli oleh anak syarikat Kerajaan Negeri, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) akan disemak sama ada ia baik atau tidak,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan penjawat awam, di SUK.

Beliau berkata penambahan 50 kompaktor itu akan melancarkan urusan kutipan sampah di 12 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Abdul Khalid turut menyelar dakwaan yang mengatakan pembelian kompaktor baru itu mencecah RM14.5 juta.

Katanya, kompaktor yang dibeli itu adalah berpatutan dan harganya kurang daripada RM240,000.

“Kita beli kompaktor baru itu kerana kompaktor lama yang ditinggalkan oleh Alam Flora sudah digunakan 15 tahun lalu. Jadi untuk menjamin pengurusan sampah cepat, kita beli baru.

“Dan saya difahamkan, KDEB sudah menandatangani kontrak pembelian itu,” katanya.

Sementara itu, mengulas lanjut isu air percuma, Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri sedia maklum bahawa pemberian percuma hanya diberikan kepada penghuni yang mempunyai meter individu.

“Oleh kerana itu, saya sudah memaklumkan bahawa penghuni supaya cepat menukarkan meter pukal kepada meter individu supaya dapat menikmati pemberian ini.

“Kadang-kadang sesetengah orang tidak faham mengenai perkara ini,” katanya.

Baru-baru ini, seramai 683 penghuni pangsapuri memfailkan saman kerana tidak dapat menikmati subsidi air percuma.


Tiada ulasan: