MALAYSIA KINI
Mahkamah
Tinggi Kuantan hari ini membenarkan penangguhan pelaksanaan sementara
kepada kumpulan Save Malaysia Stop Lynas (SMSL) selama sepuluh hari
terhadap pemberian Lesen Pengendalian Sementara (TOL) yang diperoleh
Lynas Advanced Materials Plant (Lamp).Hakim Mariana Yahya membenarkan permohonan tiga penduduk Kuantan - terdiri daripada Pengerusi SMSL dan dua anggotanya - sehingga 4 Oktober untuk mendengar permohonan Lynas mencelah dalam dua kes semakan kehakiman terhadap pemberian TOL itu.
Peguam kepada tiga penduduk itu Gene Anand Vendargon berkata, pihaknya membuat permohonan itu dan dalam masa yang sama Lynas - yang diwakili Sunil Abraham - meminta penangguhan permohonan itu untuk mencelah dalam kes semakan kehakiman.
Gene Anand berkata, peguam persekutuan Noor Azzah Abdul Aziz yang mewakili kerajaan juga meminta penangguhan permohonan itu kerana beliau memerlukan masa mencukupi untuk menjawab afidavit yang difailkan oleh plaintif.
"Kami kata, jika mereka mohon penangguhan, jadi kami mohon penangguhan pelaksanaan... dan hakim bersetuju dengannya," kata Gene Anand kepada Malaysiakini ketika dihubungi.
Katanya lagi, permohonan untuk mencelah itu akan didengar pada 4 Oktober.
Kumpulan itu sebelum ini dibenarkan memohon membuat dua semakan kehakiman daripada hakim yang sama, untuk mencabar keputusan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) yang menganugerahi lesen kepada projek nadir bumi di Gebeng.
Permohonan kedua untuk mencabar keputusan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Maximus Ongkili menolak rayuan tiga penduduk Kuantan ekoran pengeluaran lesen itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan