Oleh Mohd Martin Kahar
PETALING JAYA : KEADILAN mendedahkan hampir semua kuota
eksport bebas cukai (CPO) untuk mengeksport minyak sawit mentah
diberikan kepada kroni Umno BN.
Pendedahan
itu dimaklumkan Pengerusi Biro Pelaburan dan Perdagangan, Wong Chen
pada sidang medianya di Ibu Pejabat KEADILAN, hari ini.
Katanya, perkara itu membolehkan kroni-kroni Umno BN terlepas
dikenakan cukai hingga menyebabkan negara kerugian RM4 bilion pada tahun
ini.
“Sebilangan pemegang CPO bukan di kalangan pengusaha minyak sawit.
Mereka adalah saudagar Umno BN yang ghairah untuk mendapatkan keuntungan
besar,” katanya.
Menurut Chen, tindakan kerajaan menaikkan kuota CPO daripada 3.6 juta
kepada 5.6 juta tan metrik menyebabkan lebih banyak minyak mentah
dibawa ke luar negara sekaligus menjejaskan pasaran dalam negara.
Tambahnya, industri penapisan minyak sawit di negara ini mengalami
krisis kerana hanya mampu menampung 60 peratus kapasiti dalam negara.
Beliau turut mempersoal tindakan kerajaan merahsiakan penerima kuota CPO kononnya ia dianggap rahsia rasmi kerajaan.
“Dua hari lalu, pada Forum Minyak Sawit Antarabangsa di ibu negara,
kami mendapat maklumat nama-nama penerima kuota tidak boleh disiarkan
kononnya rahsia rasmi.
“Tindakan mengejut ini sedikit sebanyak memberi penjelasan mengapa kerajaan Umno BN memilih untuk menaikkan kuota CPO.
“Pendedahan ini menyokong kepercayaan bahawa sebilangan besar
pemegang kuota bukan pengusaha minyak sawit tetapi kroni Umno BN,”
katanya.
Justeru, beliau mencabar Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi mendedahkan keseluruhan penerima kuota CPO tersebut.
Menurut Chen, kerajaan seharusnya telus dalam menguruskan kuota CPO tersebut bagi mengelakkan berlaku lebih banyak ketirisan.
Katanya, dengan ketelusan, sekurang-kurangnya RM2 bilion hasil cukai dapat diselamatkan untuk perbendaharaan negara.
“RM2 bilion bukan jumlah yang kecil. Ia cukup untuk menampung separuh
kos dasar pendidikan tinggi percuma bagi menggantikan PTPTN (Perbadanan
Tabung Pendidikan Tinggi Nasional),” katanya.
1 ulasan:
Perlu tahu kenapa diadakan kuota tanpa duti. Ini untuk memberikan kelebihan kos kepada syarikat tempatan yang mempunyai kilag prosesan di luar negara.
Stok yang tinggi juga selalunya akan menurunkan harga minyak. Jadi, stok dilepaskan dengan cara begini bagi menampung harga. Ini lebih menguntungkan kerana keuntungan syarikat yang diberikan kuota akan dapat semula kepada kerajaan berbanding stok terbiar tanpa pembeli.
Catat Ulasan