Rabu, 19 September 2012

Kedah tuntut Felcra RM200 juta

ROSLINDA HASHIM

 Kedah tuntut Felcra RM200 juta
Datuk Seri Azizan Abdul Razak 
 
ALOR SETAR - Kerajaan Negeri sedang membuat tuntutan terhadap Felcra yang mengusahakan tanah milik mereka tetapi tidak menyerahkan hasil seperti yang dipersetujui dalam perjanjian.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, tuntutan itu kini sedang disediakan oleh peguam yang dilantik bagi mendapatkan kembali hak rakyat Kedah.

“Tuntutan dibuat oleh Menteri Besar Incoorporated (MBI) terhadap Felcra. Memang Felcra perlu bayar pada kita sebab ada dalam perjanjian, di mana tanah diusahakan Felcra, babitkan 60 peratus untuk negeri dan selebihnya 40 peratus untuk agensi itu,” katanya.

Menurutnya, kegagalan Felcra menyerahkan buku kira-kira kepada MBI antara punca Kerajaan Negeri bertindak demikian.

“Kita tidak tahu bagaimana perbelanjaan yang dibuat, oleh itu sekarang kita minta.

"Perkara sama berlaku di Kelantan tetapi mereka dapat balik walaupun nilainya tidak banyak. Mulai tahun ini, kita akan buat tuntutan dan tunggu perkembangan selanjutnya,” katanya.

Azizan berkata, buat masa ini, MBI sedang mengenal pasti pemilikan tanah bawah MBI dan Felcra untuk memudahkan proses tuntutan.

“Surat tuntutan sudah bincang, cuma jumlah sebenar belum pasti, namun ianya melibatkan jumlah yang banyak,” katanya.

Menurut sumber, antara kejayaan MBI bawah kerajaan PR ialah membuat tuntutan kepada Felcra, di mana sekurang-kurangnya RM200 juta wang rakyat Kedah yang diabaikan oleh kerajaan terdahulu kini akan dikembalikan kepada rakyat Kedah, pembayaran akan dibuat berdasarkan perjanjian.

Difahamkan, sejak Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan, Felcra juga tidak membuat pembayaran.

Dalam perkembangan lain, Azizan menafikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dibuat rombakan besar-besaran akibat mengalami masalah.

“Setakat ini, tiada rombakan dibuat, semua GLC Kedah berjalan lancar. Saya adalah pengerusi MBI, Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan Permodalan Kedah Berhad (PKB), semuanya tiada masalah,” katanya.

Menurutnya, mungkin pada awal pengambilalihan, wujud beberapa masalah termasuk kewangan, namun selepas empat tahun PR menerajui Kedah, semuanya berjaya diselesaikan.

Sebelum ini, PKB ketika diterajui Barisan Nasional (BN) berada dalam keadaan tenat, namun berjaya dipulihkan sehingga mampu memberi sumbangan kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM10 juta setahun.

Azizan menyifatkan ini suatu kejayaan dalam mengendalikan GLC Kedah, ekoran PKB berjaya melunaskan hutang tertunggak, malah dalam tempoh empat tahun, kembali aktif dan menyumbang hasil kepada negeri

Tiada ulasan: