Salmah Mat Husain, |
(Antara wanita Kelantan yang menyertai perhimpunan)
MACHANG: Kerajaan BN semakin takut berdepan dengan Pakatan Rakyat, apa lagi menyedari negeri simpanan tetapnya Sabah dan Sarawak juga akan goyah pada pilihanraya umum nanti.
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Siti Zailah Mohd Yusof, menyedari perkara itu termasuk kekuatan negeri di semenanjung juga hampir lumpuh khususnya Johor, menyebabkan BN takut untuk mengadakan pilihanraya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Himpunan Muslimat sempena Himpunan Hijau Menuju Puterajaya, yang diadakan di Dewan Majlis Daerah Machang di sini pagi tadi.
Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS negeri, Wan Ubaidah Omar dan naibnya, Rohani Ibrahim, Anggota Dewan Negara, Khairiah Mohamed.
Menurutnya, untuk meramaikan kehadiran pada program BN, kerajaan terpaksa membayar peserta disamping mengadakan cabutan nombor bertuah dan lain-lain untuk menarik lebih ramai yang hadir.
“Kerana itu pilihanraya umum masih belum diadakan sehingga hari ini dan teka tekinya masih berjalan ada yang mengatakan bulan November ini dan ada pula kata April tahun hadapan,”ujar Zailah (gambar atas).
Sementara itu, Khairiah ketika menyampaikan ucapannya berkata rakyat wajib menolak kerajaan BN kerana pentadbirannya langsung tidak mencerminkan Islam, termasuk tidak sensitif isu yang melibatkan kesucian Islam.
Katanya, selain mempersendakan hukum Hudud, pemimpin BN membiarkan umat Islam ingin menukar agamanya, walhal ianya haram di sisi Islam.
Katanya, sekiranya usaha itu tidak dibendung, ianya begitu bahaya sekali kerana umat Islam akan menjadi golongan manoriti dan bukannya majoriti.
Pelbagai pengisian diadakan sempena majlis tersebut, antaranya nasyid, deklamasi puisi, sketsa, persembahan puisi oleh tiga generasi dan lain-lain lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan