PETALING JAYA : Majlis Presiden Pakatan Rakyat (PR) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya memberi penjelasan berhubung insiden serangan berulang kali ke atas bas Jelajah Merdeka Rakyat termasuk ugutan terhadap beberapa pimpinan PR.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata PR memandang serius isu tersebut berikutan budaya samseng dan amalan ugutan semakin rancak dilakukan puak Umno-BN.
Beliau berkata, sehingga kini Perdana Menteri mahupun Menteri Dalam Negeri masih belum memberi sebarang jaminan atau maklumbalas untuk memastikan insiden sama tidak berulang lagi.
“Saya mohon penjelasan daripada Kerajaan Umno-BN sama ada ini budaya baru mereka. Pihak polis juga perlu bertegas termasuk tentang kenyataan terbaru mengenai ugutan terang-terangan yang kita terima supaya saya tidak ke Johor.
“Kita tidak mahu Malaysia ada dua undang-undang. Satu untuk memelihara kepentingan atasan dan penguasa dan satu undang-undang lagi membiarkan sebarang bentuk keganasan terhadap PR.
“Seperti mana sebelum ini, kita tidak setuju dengan adegan memijak gambar sesiapa tetapi kalau gambar Najib, ia jadi isu dan diambil tindakan. Tetapi serangan ke atas PR, dianggap biasa. Inilah dikatakan Satu Malaysia, Dua Undang-undang,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR, tengah hari tadi.
Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata budaya samseng adalah amalan biasa Kerajaan Umno-BN yang diamalkan sejak dulu lagi.
Katanya, tindakan tidak bertanggungjawab itu memberi kesukaran kepada pihak pembangkang untuk menyampaikan mesej kepada rakyat.
“Apabila terancam, mereka akan gunakan taktik itu. Walaupun setakat ini tindakan itu mensasarkan kepada PKR, tetapi kita akan bersama menghadapi isu ini kerana ia merupakan ancaman kepada PR,” katanya.
Video Berkaitan: http://www.youtube.com/watch?v=UDZXCsyEmA0
Tiada ulasan:
Catat Ulasan