Khamis, 20 September 2012

Himpunan Sejuta Umat juga di Johor Jumaat ini

Himpunan Sejuta Umat juga di Johor Jumaat iniMALAYSIA CHRONICLE

JOHOR BAHRU- Selain Kuala Lumpur, Johor Bahru juga akan bergema dengan himpunan sejuta umat Islam bagi membantah pembikinan serta penyebaran filem Innocence of Islam, arahan Sam Bacile, yang menghina keperibadian Nabi Muhammad s.a.w.

Himpunan tersebut akan diadakan di Masjid Taman Perling Johor Bahru, selepas solat Jumaat, 21 September ini.

Ketua Penerangan PAS negeri, Ghazaley Ayub, dalam kenyataan medianya turut memberitahu, pihaknya juga akan menghantar memorandum kepada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), berhubung perkara berkenaan pada Khamis ini.

“Kita akan meminta MAIJ mengeluarkan Khutbah Khas pada hari Jumaat ini, kita harap pihak berkenaan dapat mengeluarkan khutbah yang akan mengupas dengan lebih lanjut isu berkenaan termasuk perkara-perkara yang berkait dengan kecintaan kita kepada Nabi Muhammad s.a.w..”

“Kita juga berharap mimbar Jumaat ini dapat digunakan dengan sebaik mungkin untuk menangkis serangan musuh-musuh Islam dengan memberi penjelasan yang terperinci kepada umat Islam berhubung perkara berkenaan.”

Selain itu menurut beliau, PAS juga mengajak seluruh umat Islam di negeri ini serta semua parti politik dan Ngo bersama-sama pada himpunan tersebut.

“Kita menyeru seluruh umat Islam serta parti-parti politik termasuk Umno, menyertai himpunan ini kerana isu ini melibatkan umat Islam secara keseluruhan, tidak kira apa parti sekali pun, dalam konteks ini kita perlu membuktikan kesepaduan kita dalam menangani isu ini, justeru kita berharap Umno sudi bersama-sama kita untuk menyatakan bantahan terhadap pihak yang cuba menghina Islam khususnya Nabi Muhammad s.a.w..”

Selanjutnya menurut Ghazaley, pihaknya juga akan menjemput rakan-rakan dari DAP untuk sama-sama pada himpunan tersebut.

“Selama ini DAP dilabel sebagai anti Islam maka untuk membuktikan dakwaan tersebut tidak benar, mereka juga akan turut serta pada himpunan ini.”-harakahdaily

Tiada ulasan: