Selepas tiga penggal menjadi Adun dan 21 tahun menjadi pemimpin utama PAS Perlis, Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin mengumumkan tidak akan bertanding lagi dalam pilihan raya umum akan datang.
Namun beliau telah mempersiapkan segala-galanya untuk PAS Perlis menghadapi Umno dan BN dalam pilihan raya umum akan datang ini. Ikuti wawancara wartawan Harakahdaily Zulkifli Sulong dengan beliau baru-baru ini.
Harakahdaily: Apa perkembangan berlaku di Perlis sekarang ini terutama dari segi persediaan hadapi pilihan raya umum ke 13?
Hashim Jasin: Pertamanya terima kasih kepada Harakahdaily yang sudi datang ke Perlis ini. Pertamanya dari segi persediaan pilihan raya terutama dari segi kerjasama kita dengan Pakatan Rakyat iaitu PKR dan DAP. Sebenarnya, sejak Mei tahun lalu (2011), kita sudah selesai pembahagian kerusi di kalangan parti Pakatan Rakyat.
Selepas itu, kita iaitu PAS telah membuat re treat dua hari satu malam yang disertai oleh wakil-wakil dari DUN dan Kawasan-kawasan sebab kita dah tahu kawasan yang kita bertanding. Ia bertujuan untuk menentukan bakalbakal calon. Dengan re treat itu kita sudah dapat cadangan dari wakil-wakil yang hadir, nama-nama yang bakal bertanding. Pihak Perhubungan khasnya Dewan Harian kemudiannya atur mereka mengikut keutamaan dan kita serahkan nama-nama itu kepada Pusat. Baru-baru ini, kesemua nama-nama yang kita hantar itu diluluskan oleh Majlis Syura.
Langkah kedua yang kita buat adalah memperkemaskan jentera melalui Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPN). Kali ini pengarah dia, kita bagi orang baru, orang muda jadi pengarahnya iaitu Saudara Hasharudin dan dia susun kerja-kerjanya. Kita telah banyak belanja untuk JPN, hampir RM200,000 untuk membuat pelbagai persiapan. Ia banyak kerana Perlis ni negeri kecil sahaja.
Yang kedua, Pemuda. Juga kita banyak gerakkan parti melaluinya termasuk penubuhan PKC iaitu Pasukan Kerja Calon yang diuruskan Pemuda. PKC ditugaskan untuk membantu calon kita mendekati pengundi melalui aktiviti kebajikan dan khidmat masyarakat. Kita juga telah belanjakan RM107,000 untuknya kerja-kerja ini. Bukan yang PAS, Pemuda saja. Antaranya kita bagi daging, buah kurma semasa Ramadhan dan lain-lain. Ini sebenarnya banyak membantu kita untuk memasuki mana-mana kawasan di negeri ini. Ia macam pembuka jalan.
Seterusnya kita perkuatkan jentera di peringkat UPU. Ini sedang berjalan sekarang dengan tumpuan kepada cula. Dari lapan kawasan DUN kita tanding, enam sudah siap. Kita pula jalankan ikut taktik Kelantan ketika nak rampas negeri semula menjelang tahun 1990. Sekarang ini ia masih terus berjalan lagi tetapi tinggal tak banyak dah, dalam 20 peratus lagi untuk kita selesaikan.
Bagaimana dengan pembahagian kerusi?
Kita telah berbincang ketiga-tiga parti dan selesai pada Mei tahun lepas lagi. Ia kemudiannya ditandatangani oleh wakil ketiga-tiga parti. Saya telah wakili PAS. Kita kemudian telah hantar kepada Pusat.
Jadi Perlis antara yang awal?
Ya, saya rasa kita antara paling awallah yang selesai. Walaupun ada usaha untuk ubah, tetapi kita di Perlis sudah selesai.
Dari segi kerjasama antara PAS, PKR dan DAP di negeri ini?
Kita telah sekian lama menubuhkan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat negeri. Kita telah adakan empat atau lima kali mesyuarat di mana saya adalah pengerusinya. Yang tak pernah putus mesyuarat adalah Sekretariat Pakatan Rakyat negeri yang adakan mesyuarat setiap bulan dan kadang-kadang dua kali sebulan. Ia dipengerusikan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS.
Bagaimana kedudukan pengundi Cina di Perlis?
Perubahannya sangat menarik di Perlis ini. Mereka sangat banyak cenderung kepada Pakatan sekarang. Misalnya di Sanglang, kawasan saya bertanding sebelum ini. Dulu masa pru 12, saya dapat 30 undi sahaja dari 800 pengundi Cina yang ada. Sekarang ini saya rasa, BN akan dapat 30 undi itu dan selebihnya calon PAS akan dapat.
Secara keseluruhannya di Perlis ini, bagaimana kecenderungan mereka?
Saya kira antara 70 - 80 peratus dari mereka menyokong Pakatan dalam pilihan raya akan datang ini. Dan yang menariknya, ini kali pertama fenomena ini berlaku di negeri ini.
Maknanya pilihan raya 2008 lalu, hal ini tidak berlaku?
Ya kali ini baru bergerak macam tu, dulu tak begitu.
Yang menarik juga Ustaz kata tadi adalah PKC. Apa makna PKC ini dan tugas mereka ustaz?
PKC ialah Pasukan Kerja Calon. Mereka ditubuhkan di bawah Dewan Pemuda. Mereka dibentuk untuk membantu setiap calon kita yang akan bertanding. Merekalah barisan hadapn kita yang akan menemui masyarakat dengan memasuki kampung-kampung, berjumpa orang. Mereka membawa bersama sumbangan PAS, pemimpin PAS atau bakal calon kita kerana kita telah kenalpasti calon kita.
Maknanya semua calon PAS sudah tahu mereka adalah calon?
Ya mereka telah tahu mereka adalah calon.
Seterusnya, ada kajian yang menunjukkan perpecahan dalam Umno Perlis sekarang ini sangat ketara. Ikut kajian itu, penduduk Perlis tidak tahu isu NFC misalnya tetapi mereka tahu perpecahan dalam Umno Perlis ini. Sebenarnya setakat mana kebenaran perkara ini?
Ia memang betul berlaku. Misalnya dalam sidang DUN Perlis baru-baru ini, (Datuk Seri) Shahidan (Kassim) bantai MB, bantai Exco. Saya mencelah, nampaknya Umno pecah dua. Dia (Shahidan) jawab, dok bukan dua...tiga. Baru-baru ni, saya tanya lagi...bagaimana doh jadi tiga. Dia kata lagi...dok, empat.
Dalam sidang itu juga, ADUN Mata Air, Khairy berucap. Dia kata, anak muda tidak menyokong BN.
Kerana dihasut pembangkang, dia kata. Saya kata, bijak pembangkang. Ada antara mereka beritahu saya, kamu senanglah dah tau dah nak buat apa. Kami tak tau lagi. Nak buat kerja pun tidak boleh, takut saja je.
Buat kerja pun takut tak lekat langsung (jadi calon). Ini dilema yang mereka hadapi berbanding dengan kita yang tidak ada masalah itu.
Tetapi perpecahan yang berlaku dalam Umno Perlis ini sejak dari dahulu lagi? Adakah darjahnya berbeza sekarang?
Ooooh berbeza, berlain. Tengoklah, dulu (Datuk Seri) Najib mai sekali je. Sekarang dah berapa kali dah Najib datang. (Tan Sri) Muhyidin pun datang . Dulu mereka buat keputusan, bagi kawasan Arau misalnya, Shahidan tentukan calon. Bahagian ini pula ketua bahagian. Tetapi sekarang tak boleh. Shahidan dah kontrol semua JKKK dengan cara dia bayar elaun JKKK selain kerajaan negeri. Dia bagi dahulu, tiada yang tertangguh. Banjir, kerajaan bagi RM300 juta sahaja tetapi Shahidan bagi RM600,000.
Selain Shahidan, siapakah lagi pemimpin yang mengawal kumpulan Umno Perlis ini?
Ada empat kumpulan, kalau berdasarkan kata Shahidan itu iaitu diketuai Shahidan, Datuk Seri Mohamad Isa Menteri Besar, adinda Tuanku Sultan Adun Pauh Syed Razlan dan Datuk Azmi Khalid, bekas menteri.
Sikap PAS Perlis dalam menghadapi perpecahan dalaman Umno ini?
Kita tidak kesah dan biarlah kepada mereka untuk selesaikannya.
Negeri Perlis ini, negeri miskin. Kalau federal tidak sokong, boleh ke negeri ini hendak bayar gaji pegawai dia apatah lagi membuat pembangunan. Apa komen ustaz?
Hal ini juga berbangkit dalam Dewan Undangan Negeri. Saya kata senang je, pendapatan kerajaan negeri dalam RM120 juta saja. Bagaimana nak hidup. Saya jawab, komplek PAS Perlis, orang nilai RM6 ke RM7 juta. Dengan tanah, tar dan segalanya. Barang yang orang bagi pun kami kira duit. Jumlahnya kami buat RM1.8 juta. Semua orang tidak percaya. Sampai Menteri Dalam Negeri Singapura yang datang ke sini pun tidak percaya. Kita boleh buat.
Jadi Umno, dengan RM200 juta pun tidak cukup, kita yakin dengan RM100 juta tu cukup untuk mentadbir negeri. Kita yakin, pintu rezeki Allah akan buka.
Perlis juga menarik kepada orang luar dengan pelancongannya. Ramai yang datang untuk melancong. Dasar PAS dengan pelancongan ini macamana?
Memang ramai orang luar datang ke Perlis kerana pelancongan. Namun sekarang ini, banyak yang terbengkalai. Kalau kita buat pelancongan ilmu dan perubatan alternatif di Perlis ini akan mendapat sambutan baik. Maknanya, kita akan majukan lagi pelancongannya. Kita juga suka kerana dari segi negatif pelancongan di Perlis ini masih terkawallah.
Akhir sekali apa harapan Ustaz dalam pilihan raya akan datang ini?
Pertama saya nak maklumlah, dalam pilihan raya akan datang ini saya tidak bertanding dah. Ini Ustaz Hadi (Presiden PAS) tahu dah. Saya dah cari ganti saya dan dah ada dah (untuk DUN Sanglang) dan ada dalam Dewan Harian. Saya pun dah tolong perkenal dia.
Kita telah gariskan kabinet bayangan. Kalau diizinkan kita kemenangan kita dah sedia. Kita juga yakin, kalau menang, saya yakin bahawa PAS mesti menguasai kerajaan dalam bentuk apa aktivitipun. Parti yang menguasai kerajaan.-harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan